Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyarankan supaya usahawan di negara ini mengubah strategi peniagaan mereka serta menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan. Ia berikutan daripada mentaliti usahawan di negara kita yang dilihat sering menggunakan konsep mempelbagaikan perniagaan dan pembangunan produk. Selain itu ia juga adalah untuk memastikan perniagaan Malaysia terus kekal berdaya saing menjelang era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Sementara itu, jika dilihat pada masa kini kebanyakan usahawan sekarang lebih menumpukan perniagaan terhadap cara untuk memperdagangkan produk dan menggunakan teknologi. Perniagaan di Malaysia juga perlu terlibat dalam pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara serius bagi penambahbaikan produk dan perkhidmatan serta proses perniagaan itu sendiri.

Tun saran usahawan peka perubahan landskap perniagaan global

Selain itu, bagi mengekalkan perniagaan di Malaysia agar terus relevan dan berdaya saing, strategi perniagaan Malaysia perlu perlahan-lahan beralih kepada mencipta teknologi seiring dalam menghadapi IR4.0. Cara dan konsep yang diguna pakai kini bukanlah tidak baik tetapi kita perlu sedar dan peka bahawa kita semakin hampir dengan IR4.0 di mana perubahan juga akan berlaku dalam perniagaan.

Sekiranya kita masih menggunakan kaedah konvensional yang sama, tidak mustahil kos perniagaan semakin tinggi kerana perniagaan Malaysia masih tertumpu dengan hanya menggunakan teknologi. Ketidakpekaan usahawan-usahawan mengikuti perubahan dalam menjalankan perniagaan seharusnya dielakkan bagi memastikan perniagaan Malaysia tidak ketinggalan dengan negara maju yang lain bagi penghasilan produk yang lebih berkualiti.

IR4.0 bukan sahaja mampu membaik pulih perniagaan malah ia mampu mengubah semua aspek kehidupan kita. Oleh demikian, bagi memastikan perniagaan Malaysia dapat diubah ke satu tahap yang lebih baik, usahawan-usahawan kita perlu didedahkan dengan penggunaan teknologi dengan lebih terperinci dalam memajukan perniagaan.

Revolusi industri 4.0 bakal bagi impak kepada perniagaan Malaysia

Di samping itu, kerajaan juga boleh membantu dengan memperuntukkan dana khas untuk para usahawan yang ingin menceburkan diri dalam mencipta teknologi serta melakukan R&D. Inisiatif ini akan menjadi permulaan yang baik untuk mereka terus mengembangkan perniagaan seiring dengan kemajuan yang berlaku sekarang.

‘Bagai cendawan tumbuh selepas hujan’. Itulah perumpamaan yang sesuai mengenai kewujudan usahawan kecil khususnya golongan muda. Oleh itu, pihak berwajib boleh memainkan peranan dengan lebih aktif bagi mendedahkan kepentingan perubahan strategi perniagaan perlulah diubah dengan corak yang lebih berdaya saing mengikut peredaran masa.

Platform ini boleh dijadikan permulaan untuk mengubah strategi perniagaan Malaysia sedikit demi sedikit di mana ia sekaligus mampu menjadi ikutan usahawan lain apabila impaknya dapat dihasilkan. Tambahan pula, perniagaan yang berdaya saing akan memberi impak positif kepada ekonomi negara sekaligus ia akan membuka ruang dalam mengembalikan semula status ‘Malaysia harimau Asia’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here