Malaysia dan perpaduan antara kaum ibarat irama dan lagu. Maka tidak hairanlah sekiranya negara ini dinobatkan antara 30 negara teraman di dunia oleh Global Peace Index selama lima tahun berturut-turut walaupun terdiri dari pelbagai etnik. Itu sebenarnya kunci kejayaan Malaysia.

Malaysia menduduki tangga ke-16 antara negara teraman di dunia untuk tahun 2019

Jika dilihat, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perpaduan erat antara kaum di negara ini, salah satunya adalah perayaan. Apabila sesebuah perayaan disambut oleh pelbagai kaum, ia menggalakkan lagi perpaduan dikalangan mereka dan secara automatik sikap bersatu-padu akan timbul dari dalam diri hingga terjalinnya kerjasama yang boleh membangunkan kejayaan negara.

Selain perayaan, sukan juga sebahagian daripada faktor perpaduan. Ini dapat dilihat apabila berlakunya sesuatu isu yang melibatkan sukan negara, sudah pasti rakyat negara ini akan membela dan tidak kira dari apa jua latar belakang mereka bersatu. Contoh yang boleh dilihat, isu Kejohanan Renang Para Dunia (IPC) 2019.

Dalam hal ini, tidak kira apa jua faktor yang dilihat mendorong kejayaan Malaysia, rakyat juga dinasihatkan agar sentiasa kekal memelihara keamanan negara ini secara demokrasi tanpa ada persengketaan dengan cara menaikkan semangat perpaduan sesama sendiri. Dengan kukuhnya perpaduan, maka segala halangan dan rintangan yang dilalui tidak menjadi masalah bagi kita.

Kejayaan Malaysia hari ini merupakan hasil usaha daripada perpaduan rakyat negara ini selama 62 tahun

Justeru, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan perpaduan yang dikecapi sehingga hari ini kerana bukan mudah untuk menggapai sebuah keamanan dengan kepelbagaian kaum. Ia memerlukan pengorbanan dan rasa timbang rasa agar semua rakyat dapat menikmati keberhasilan secara sama rata tanpa adanya perseteruan di antara kaum.

Malaysia sebuah negara yang unik, kerana dengan kepelbagaian kaum negara ini masih boleh meniti kemajuan hari demi hari. Oleh itu, rakyat negara ini wajib mengekalkan perpaduan kaum di kalangan mereka agar dapat mengukuhkan lagi kestabilan negara dan mencapai sasaran untuk menjadi negara maju sesuai dengan apa yang diterapkan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here