Malaysia telah dikenali di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun yang mempunyai pelbagai penduduk berbeza bangsa, kaum, kepercayaan dan pegangan agama namun dapat hidup rukun serta damai.

Hasilnya, lebih 60 tahun negara membangun dan kehidupan rakyat Malaysia aman, makmur serta terbela. Alangkah baiknya jika suasana begini terus kekal tanpa dibatasi masa yang bersilih ganti.

Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara agar kemerdekaan yang kita kecapi sehingga kini berkekalan.

Hal ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dan rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman yang telah berlaku di negara ini sehingga sedikit sebanyak telah menjentik emosi dan sensitiviti kaum.

Rusuhan 13 Mei 1969 yang meragut nyawa patut dijadikan iktibar

Perpaduan amat penting dalam sesebuah negara kerana merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi taraf sosial dan pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini kerana, kestabilan negara hasil daripada jalinan perpaduan rakyatnya dapat membantu meningkatkan daya tarikan pelabur. Lebih banyak kemasukan pelaburan luar, lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat terus erat. Salah satu faktor yang perlu diperhalusi demi memastikan perpaduan terus dikecapi adalah dengan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum.

Hal ini demi memastikan taraf kehidupan rakyat Malaysia sentiasa seimbang agar tidak wujud perselisihan faham dan prasangka antara kaum. Justeru, kerajaan perlu menyusun semula struktur ekonomi negara agar semua kaum dapat menceburi semua bidang ekonomi dan tidak dimonopoli oleh satu-satu kaum sahaja.

Selain itu, kerajaan perlu terus menyuburkan amalan rumah terbuka ketika sambutan perayaan. Hal ini kerana, amalan rumah terbuka yang diadakan bagi meraikan satu-satu perayaan dilihat mampu memupuk perpaduan kerana masyarakat yang berbilang kaum akan sama-sama meraikan perayaan tersebut disamping masyarakat dapat bermesra dan mempelajari budaya kaum tertentu. Amalan ini bukan sahaja menggambarkan persefahaman malah meningkatkan lagi kemesraan sesama kaum.

Masyarakat harus sedar akan kepentingan perpaduan ini kerana perpaduan merupakan teras kepada kekuatan negara kita. Perpecahan dan salah faham yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum ini mampu mengancam keharmonian seterusnya meruntuhkan sesebuah negara. Akibatnya, negara kita yang bergantung kepada pelaburan asing akan mundur.

Justeru itu, walaupun masyarakat Malaysia berbilang kaum dan bangsa, serta berbeza ideologi politik, namun apa yang penting adalah sikap bersatu padu dalam membangunkan negara perlu ada dalam setiap individu agar keamanan dan keharmonian terus dicapai.  Hal ini kerana keharmonian yang dicapai adalah hasil daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan dapat menepis segala ancaman dari dunia luar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here