‘Tak akan Melayu hilang di dunia’ petikan kata-kata Hang Tuah yang masih diingati sehingga kini. Namun pada ketika ini perpecahan orang Melayu dalam konteks politik menyebabkan bangsa Melayu semakin menjadi minoriti dan akhirnya menjadi lemah kerana berpecah. Akibatnya, Melayu menjadi pengemis di negara sendiri.

Perpecahan orang Melayu boleh dikatakan telah sampai ke tahap yang memuncak terutamanya apabila wujud banyak kumpulan kononnya berjuang atas dasar kepentingan orang Melayu tetapi hanya menjadi punca perpecahan orang Melayu.

Kewujudan parti-parti politik yang kononnya memperjuangkan suara dan hak orang Melayu ketika ini tidak melambangkan matlamat sebenar apabila golongan tersebut sering mengecam antara satu sama lain.

Kewujudan pelbagai parti politik hanya akan memecah-belahkan orang Melayu

Jurang perpecahan semakin melebar apabila terdapat segelintir pemimpin Melayu sendiri yang melemparkan cercaan dan sindiran terhadap bangsanya secara terbuka tanpa rasa bersalah.

Hakikatnya jurang perpecahan dalam kalangan orang Melayu semakin melebar, dengan lahirnya fahaman-fahaman politik, ideologi dan pelbagai pemikiran baharu serta bercelaru. Akibat terlalu menekankan kepentingan politik, akhirnya Melayu semakin berpecah.

Perpecahan dalam orang Melayu sangat membimbangkan kerana jika Melayu berpecah dan porak peranda maka keistimewaan orang juga Melayu akan terhakis. Orang Melayu akan hilang hak beragama, mundur dalam ekonomi, politik dan pendidikan.

Akibat daripada hilang hak keistimewaan, orang Melayu akan hidup merempat dan menjadi hamba di tanah air sendiri. Pada ketika itu, orang Melayu akan dijajah dari segi agama, ekonomi, kuasa politik, pendidikan dan akhirnya menjadi bangsa yang mundur.

Sultan Selangor dukacita perpecahan orang Melayu di tahap amat merisaukan

Tidak dapat dinafikan bahawa perbezaan pendapat, idealogi politik dan sebagainya bagi setiap individu atau kumpulan tidak dapat dielakkan. Namun perpecahan dalam kalangan orang Melayu dapat dielakkan jika menjadikan ajaran agama Islam sebagai pegangan. Hal ini kerana Islam sentiasa mengutamakan penerapan nilai-nilai murni dalam diri umatnya.

Oleh itu, orang Melayu perlu bangkit dan sedar bahawa perbalahan, perebutan dan perpecahan ini tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada orang Melayu. Orang Melayu perlu bersatu padu dan harus mengenepikan perbalahan serta perbezaan idealogi politik agar bangsa Melayu menjadi satu bangsa yang kuat dan bermaruah.

Justeru, perpaduan boleh dicapai sekiranya setiap individu terutamanya pemimpin menunjukkan contoh teladan yang baik dan mengamalkan sikap berbaik sangka, tiada dengki khianat, tidak berdendam, bekerjasama, saling membantu serta tidak mementingkan diri tanpa mengira latar belakang politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here