Pendidikan memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Rakyat yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan yang sempurna dan berkualiti akan menjejaskan peluang mereka untuk menikmati kemajuan ekonomi. Baru-baru ini, Kolej Universiti New Era telah mendapat peruntukan khas dari Kementerian Kewangan lalu menimbulkan kontroversi apabila tindakan itu dipersoalkan oleh beberapa pihak. Namun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa peruntukan khas yang diberikan kepada kolej tersebut adalah daripada Kementerian Kewangan dan bukan daripada KPM.

Tindakan ini telah mengundang spekulasi bahawa berlakunya ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan dana pendidikan. Di dalam Akta Pendidikan 1996, tiada mana-mana dalam peruntukan akta tersebut membenarkan Menteri Pendidikan untuk menyalurkan apa-apa bantuan kewangan dari dana Kerajaan Persekutuan bagi tujuan menyelenggara sekolah menengah persedirian. Bahagian VII Akta Pendidikan 1996 bermula dari sekysen 73 hingga 78 adalah merupakan seksyen-seksyen perundangan berkaitan dan Institusi Pendidikan Swasta dan tiada satupun daripada 6 seksyen berkenaan yang memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menyalurkan apa-apa bantuan modal kepada institusi pendidikan swasta.

Tindakan kerajaan untuk memberi dana bantuan kepada sekolah persendirian tidak perlu dipersoalkan jika kerajaan memberikan keutamaan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan. Kerajaan perlu berlaku adil kepada semua institusi pendidikan namun peruntukan perlu diberikan berdasarkan keperluan sesebuah sekolah itu.

Pada ketika ini masih wujud lagi sekolah-sekolah yang terpinggir dari arus pembangunan yang perlu diberi penekanan dari pelbagai aspek. Oleh itu, kerajaan perlu memajukan sekolah-sekolah di pedalaman dengan menyediakan peruntukan yang lebih besar agar segala prasarana sekolah yang daif itu dapat dibangunkan. Peruntukan mencukupi yang disalurkan oleh kerajaan untuk membangunkan prasarana sekolah daif mampu meningkatkan kecemerlangan sekolah luar bandar sekaligus dapat merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar.

masih wujud lagi sekolah-sekolah yang terpinggir dari arus pembangunan yang perlu diberi penekanan dari pelbagai aspek

Pengagihan peruntukan yang tepat kepada institusi pendidikan negara adalah perlu untuk mengelakkan pembahagian yang tidak seimbang dan mengelakkan pembaziran. Selain itu juga, bantuan perlu diberikan kepada pusat pendidikan yang memerlukan bantuan kewangan yang tidak mempunyai pembiayaan dari pihak kerajaan mahupun badan korporat.

Namun, jika kerajaan ingin memberi bantuan peruntukan kepada institusi swasta, kerajaan harus mengutamakan institusi yang mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan dimana mereka menggunakan kurikulum kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan sukatan pelajaran yang selaras dengan dasar tersebut. Sekolah yang menepati ciri Dasar Pendidikan Kebangsaan dan dasar kerajaan sedia ada dilihat wajar diberi peruntukan tahunan.

Pendidikan seharusnya diberi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

Justeru itu, peruntukan dana pendidikan perlulah disalurkan secara adil kepada institusi yang memerlukan agar negara ini dapat menyediakan sistem pendidikan yang sempurna dan berkualiti sekaligus dapat melahirkan modal insan yang cemerlang. Isu pendidikan adalah isu penting dan tidak sepatutnya dipolitikkan. Pendidikan seharusnya diberi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here