Malaysia mempunyai pelbagai bentuk variasi pendidikan yang dipraktikkan di seluruh sekolah di negara ini. Ini termasuklah pendidikan di sekolah kebangsaan, sekolah agama dan sekolah persendirian. Sekolah kebangsaan dan agama merupakan sekolah bantuan kerajaan yang dikelola sepenuhnya di bawah KPM melalui Jabatan Pelajaran Negeri. Sementara sekolah persendirian pula merupakan sekolah yang tidak ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan dan tidak menerima faedah yang sama seperti sekolah kebangsaan dan agama. Ianya bergantung sepenuhnya pembiayaan melalui kadar yuran yang dikenakan kepada para pelajar.

Walaupun dengan perbezaan cara pendidikan, ketiga-tiganya bernaung di bawah KPM untuk kelulusan sijil pengiktirafan mereka dan juga layak untuk menerima peruntukan kewangan yang disediakan oleh kerajaan dalam klausa pendidikan. Namun, persoalannya di sini, adakah peruntukan kedua-dua jenis sekolah ini berbeza berdasarkan kepada cara pendidikannya?

Dalam pembentangan bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan kepada bidang pendidikan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM250 juta diagihkan kepada sekolah kebangsaan di seluruh Malaysia, manakala sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada sekolah-sekolah agama dan RM12 juta diberikan kepada sekolah-sekolah persendirian. Dengan jumlah pengagihan tersebut, jelas menunjukkan bahawa sekolah-sekolah kebangsaan dan agama lebih memerlukan bantuan naik taraf yang lebih berbanding sekolah persendirian. Apa yang pasti, sekolah-sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah yang berdaftar dengan KPM dan Jabatan Pelajaran Negeri. Ini kerana adalah menjadi satu kesalahan sekiranya sekolah ini tidak berdaftar dan mempunyai sistem rekod di KPM. Ia sama sekali bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996.

Peruntukan Kewangan Pendidikan sangat perlu untuk pembangunan pendidikan di negara ini

Dalam hal ini, kerajaan seharusnya bertindak dalam mencari solusi yang paling berkesan untuk menyelesaikan pengagihan peruntukan bagi sekolah-sekolah di Malaysia mengikut kadar kesamarataan yang ditetapkan. Ini bagi membolehkan sistem pendidikan di negara ini membangun seiring tidak kira sama ada pendidikan sekolah kebangsaan dan agama atau sekolah persendirian.

Antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan melakukan beberapa penilaian terhadap ketiga-tiga sekolah terbabit melalui keperluan yang boleh diberikan. Ini kerana sudah pasti setiap sekolah memerlukan peruntukan yang berbeza berdasarkan kepada pendidikan yang ditawarkan di sekolah-sekolah terbabit.

Selain itu, kerajaan juga harus menyediakan satu garis panduan kepada Kementerian Kewangan dalam pengagihan di antara ketiga-tiga sekolah terbabit. Ini bagi memastikan pengagihan peruntukan dilakukan secara adil mengikut kadar keperluan untuk membangunkan serta menaiktaraf sekolah terbabit.

Walau bagaimanapun, dalam pada usaha kerajaan memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia, sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak masih lagi berada pada tahap yang menyedihkan. Walaupun dengan bermacam peruntukan yang disediakan, ia belum cukup untuk menampung kehidupan sekolah-sekolah di pedalaman tersebut.

Sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih keciciran harus mendapat perhatian lebih oleh kerajaan hari ini

Hal ini kerana bantuan-bantuan yang diberikan tidak setanding dengan keperluan sekolah-sekolah berkenaan yang memerlukan lebih banyak peruntukan dan pembangunan serta perhatian daripada kerajaan. Oleh itu, kerajaan seharusnya menumpukan sepenuh perhatian mereka terhadap pembangunan pendidikan di negara ini khususnya di pedalaman negeri-negeri Malaysia Timur. Ini bagi memastikan pendidikan yang diterima oleh para pelajar di pedalaman sama dengan para pelajar di Semenanjung.

Ironinya, kerajaan dan pihak KPM seharusnya mengambil kira segala keperluan yang diperlukan oleh sekolah-sekolah di Malaysia melalui pengagihan peruntukan yang adil tanpa sebarang prejudis dan pilih kasih. Ini perlu dalam memastikan Dasar Pendidikan Negara ini tercapai dengan peruntukan-peruntukan yang disediakan oleh kerajaan. Ini kerana peruntukan dana pendidikan perlulah disalurkan secara adil kepada institusi yang memerlukan agar negara ini dapat menyediakan sistem pendidikan yang sempurna dan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here