Pilihan Raya Kampus (PRK) kini mendapat jaminan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas KPM akan memastikan PRK di bawah Malaysia baru akan bebas daripada pengaruh parti politik atau individu berkepentingan. Ia bagi memastikan keputusan PRK tidak terpengaruh daripada agenda luar yang cuba mempengaruhi mahasiswa untuk menyokong parti politik.

Menteri Pendidikan YB Maszlee Malik juga mengesahkan kementerian memberikan kuasa kepada pelajar di universiti awam untuk melakukan dan menguruskan pilihan raya kampus tanpa campurtangan pentadbir universiti. Bagaimanapun, setiap pelajar yang berdaftar dengan mana-mana universiti awam (UA) adalah tertakluk kepada perlembagaan, peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di sesebuah universiti itu.

KPM akan menjaminkan Pilihan Raya Kampus bebas dari unsur politik luar

Kebebasan PRK pernah diperjuangkan aktivis mahasiswa dan mengambil contoh kajian soal selidik Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkenaan tahap keadilan pilihan raya kampus mereka, daripada 230 responden 73.9% berpandangan pilihan raya kampus di UKM tidak adil. Ini kerana terdapat “tangan-tangan halus” yang cuba masuk campur dalam PRK hingga menyebabkan mahasiswa hanya menurut arahan mereka.

Oleh kerana itu pentingnya PRK perlu bebas dari mana-mana unsur politik dan memulangkan semula kuasa demokrasi kepada mahasiswa untuk memilih Pro-Mahasiswa atau Aspirasi tanpa dipengaruhi anasir luar. Malah, keputusan PRK juga tidak boleh dipengaruhi dengan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana perjuangan yang dibawa mahasiswa berbeza berbanding parti-parti politik Malaysia.

Apabila unsur politik luar atau individu berkepentingan mempengaruhi PRK dalam universiti awam, ia boleh menyebabkan agenda sebenar mahasiswa berkempen dalam PRK dalam menjaga kebajikan pelajar dan membawa isu-isu berkaitan pelajar bagi mendapat perhatian kerajaan tidak tercapai. Malah, ia memberi peluang kepada pihak dari parti-parti politik untuk menggunakan mahasiswa bagi kepentingan mereka dan menghasut untuk melakukan demonstrasi jalanan hingga menjejaskan keharmonian negara.

Di samping itu, mahasiswa merupakan golongan yang masih rapuh dalam arena politik dan mudah terpengaruh dengan agenda dari parti-parti politik hingga menyebabkan mereka memilih untuk mengundi Pro-Mahasiswa atau Aspirasi berdasarkan hubungan antara pemimpin parti politik dengan calon-calon mahasiswa. Akibatnya mahasiswa dijadikan ‘kambing hitam’ atau platform untuk parti politik menentang kerajaan.

Mahasiswa tidak boleh digunakan oleh parti-parti politik untuk kepentingan sendiri

Justeru, jaminan daripada KPM untuk memastikan PRK di universiti tempatan tidak dipengaruhi unsur politik adalah satu langkah yang digalakkan. PRK tidak perlu dipengaruhi dengan unsur politik luar yang lebih kotor dan agenda mereka juga berlainan dengan agenda PRK untuk menjadi suara dalam menyuarakan kebajikan mahasiswa kepada kerajaan.

Tidak mustahil jika satu hari nanti Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) boleh memantau PRK di universiti awam bagi memastikan parti-parti politik tidak cuba mempengaruhi mahasiswa ketika mereka berkempen. Ini bagi memastikan mahasiswa boleh mengenal erti demokrasi yang betul dan mempunyai pilihan raya yang bersih tanpa gangguan luar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here