Apabila rakyat memilih kerajaan Pakatan Harapan untuk menerajui negara, mereka hanya mahukan perubahan kos sara hidup ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya. Jika mahu diungkit segala manifesto milik kerajaan PH pasti akan ada ‘hati-hati yang terluka’. Segala yang diimpikan seolah-olah ‘indah khabar dari rupa’.

Mungkin terlalu awal untuk menilai pemerintahan Pakatan Harapan apabila baru sahaja memasuki tahun kedua, namun penutup tirai 2019 masih lagi tiada tanda-tanda yang baik untuk rakyat. Sempena Tahun Baru 2020, rakyat bakal diperkenalkan dengan 12 jenis cukai samada yang baharu atau yang dinaikkan kadarnya.

Di saat rakyat mula berpolemik dengan cukai-cukai yang bakal diperkenalkan, kerajaan pula terus mengumumkan untuk menukar kenderaan rasmi yang melibatkan 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 Honda Accord untuk menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Secara jujurnya, walaupun pembelian ini belum diputuskan, tetapi itu adalah satu keputusan dan pengumuman yang ‘melukakan’ hati rakyat ketika mereka masih menghitung wang untuk membayar cukai-cukai bakal diperkenalkan.

Antara kenaikan cukai yang bakal ‘dinikmati’ oleh rakyat.

Ketika kadar gaji minimum rakyat RM1,200 yang hanya di naikkan di kawasan-kawasan tertentu, sudah pasti keputusan untuk menukar kenderaan rasmi kerajaan menjadi pertikaian kepada rakyat. Ketika rakyat sedang bergelut dengan kadar kenaikan cukai, peruntukan yang diperuntukan untuk perkara yang tidak perlu diberikan kepada rakyat supaya mereka dapat memperbaiki kos sara hidup.

Sering kali kita melihat kebanyakan peruntukan memberi kelebihan kepada sektor-sektor besar dan penduduk bandar. Kerajaan boleh memberi penekanan kepada pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana. Ia bukan sahaja dapat membantu pengusahanya meningkatkan pendapatan, sekali gus mewujudkan pekerjaan dengan gaji setimpal, tetapi pada masa sama mengeluarkan produk jenama tempatan untuk dijual pada kadar berpatutan.

Kenaikan tariff air dan elektrik bersama dengan cukai-cukai lain seperti cukai taksiran, kadar caj kesesakan, tariff pos baharu dan cukai petak bukan sahaja membebankan rakyat, malahan kadar kenaikan gaji RM1,200 juga pasti tidak mampu untuk menampung kenaikan cukai-cukai yang diumumkan. Itu belum lagi dengan kenaikan barangan mentah dan keperluan harian yang sedikit demi sedikit ‘menjerut’ leher rakyat. Semuanya berlaku secara serentak sehingga menyukarkan rakyat untuk ‘bernafas’.

Setiap keputusan kerajaan yang kurang berpihak kepada ‘poket’ rakyat mungkin akan memberi kesan dari segi kepercayaan dan keyakinan kepada tampuk pemerintahan itu sendiri. Kelebihan sudah pasti akan berpihak kepada parti pembangkang yang akan mengambil kesempatan di atas ‘kelemahan’ kerajaan dan ‘kemarahan’ rakyat.

Kerajaan mempunyai tiga tahun lagi untuk memperbaiki setiap kelemahan mereka. Untuk menjadi sebuah kerajaan yang baik bukanlah dengan meminta rakyat untuk terus ‘berkorban’ wang ringgit dan tenaga, tetapi dalam masa yang sama, tampuk pimpinan tertinggi terus menikmati kesenangan. Kerajaan yang baik akan terus berkorban untuk kesenangan rakyat.

Adakah menteri dan pegawai tertinggi kerajaan bakal menikmati kenderaan rasmi yang baharu?

Walaupun tidak boleh menjadi seperti Nelson Mandela atau Jose Mujica yang memotong 90 peratus gaji mereka untuk kesenangan rakyat, tetapi cukuplah dengan pengumuman pemberian subsidi kepada rakyat. Bukannya dengan kenaikan kadar cukai tetapi dalam masa yang sama pemimpin tertinggi kerajaan terus ‘bersandar’ megah di dalam Vellfire dan Honda Accord.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here