Perkembangan politik di Malaysia kini memasuki fasa baru apabila timbul pertikaian mengenai pelantikan jawatan Naib Presiden oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Antara nama yang dilantik oleh Presiden parti tersebut adalah YB Rafizi Ramli, Anggota Parlimen Tanjong Malim YB Chang Lih Kang dan Anggota Parlimen Saratok YB Ali Biju.

Perlantikan tersebut telah menjadi perbualan apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali membantah pelantikan yang dibuat oleh Presiden PKR tersebut dan meminta keputusan perlantikan kepimpinanan pusat parti itu dikaji semula. Beliau menyifatkan pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip mewakili aspirasi anggota secara adil dan saksama.

Bekas calon Timbalan Presiden PKR YB Rafizi Ramli kini dilantik sebagai Naib Presiden PKR

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kuasa sebagai presiden parti dan mempunyai hak untuk membuat perlantikan tersebut seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PKR. Fasal 21.7 Perlembagaan PKR ada menyatakan tiga orang Naib Presiden dengan seorang dari Sabah atau Sarawak hendaklah dilantik oleh Presiden. Ketiga-tiga perlantikan tersebut akan menyertai empat Naib Presiden yang dipilih oleh anggota parti melalui pemilihan PKR.

YB Rafizi Ramli bukanlah nama asing di dalam PKR kerana beliau merupakan individu yang banyak membantu parti tersebut memenangi hati rakyat dengan membincangkan masalah dihadapi rakyat seperti kos sara hidup, cukai GST dan lain-lain lagi. Beliau juga memainkan peranan dalam memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu dengan menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk berkempen di seluruh negara serta melalui sumbangan daripada INVOKE Malaysia yang dikendalikan beliau.

YB Chang Lih King dan YB Ali Biju juga merupakan muka baru dalam kepimpinan tinggi PKR serta mereka banyak menyumbang di dalam parti. YB Chang Lih King merupakan Ahli Parlimen yang mempunyai banyak pengalaman kerana memegang kerusi Parlimen di P71 Gopeng selama dua penggal dari tahun 2008 hingga 2018 serta P77 Tanjong Malim pada PRU 14 lalu walaupun usia beliau hanya 38 tahun.

Kuasa melantik Naib Presiden adalah hak Presiden mengikut daripada Perlembagaan PKR

YB Ali Biju pula berjaya memenangi kerusi Parlimen Saratok yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1978. Malah, YB Ali Biju mendapat sokongan penuh daripada PKR Sarawak untuk dilantik menjadi Naib Presiden PKR dan mempunyai rekod prestasi yang baik dalam kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen serta pemimpin akar umbi parti.

Justeru, keputusan pelantikan Naib Presiden oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu dipersoalkan kerana ianya tidak melanggar Perlembagaan parti dan nama-nama dilantik adalah individu yang mempunyai sumbangan besar di dalam PKR. Keputusan pelantikan itu juga adalah hak istimewa Presiden PKR untuk memilih kepimpinan tertinggi dan semua pihak didalam parti perlu melupakan  polemik untuk bergerak ke depan bagi merapatkan saf pimpinan dalam mencapai agenda perjuangan parti untuk rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here