Keganasan! Itulah gambaran suasana yang berlaku di tengah-tengah Ibu Kota Jakarta, Indonesia ketika ini apabila berlakunya rusuhan di kalangan rakyat negara tersebut susulan daripada keputusan Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) negara republik itu yang sekali lagi memihak kepada Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Kekacauan tercetus selepas suruhanjaya pilihan raya negara itu mengesahkan Jokowi menewaskan jeneral bersara Prabowo Subianto dalam pilihan raya presiden yang diadakan pada 17 April lalu. Bagaimanapun, Prabowo tidak dapat menerima keputusan itu kerana menganggap berlakunya penipuan besar-besaran di dalam pilihan raya terbabit. Dalam pilihan raya tersebut, Jokowi menewaskan Prabowo dengan jumlah undian sebanyak 85,607,362 berbanding 68,650,239 undian yang diterima oleh Prabowo dengan majoriti keseluruhan sebanyak 97.62%. Rusuhan yang memasuki hari kedua ini telah mengorbankan enam nyawa dan lebih 200 orang cedera.

Rakyat seharusnya tidak dijadikan mangsa kerakusan politik para pemimpin demi untuk memperolehi kuasa

Jika dilihat kembali, perjalanan proses bagi pilihan raya di Indonesia tidak banyak bezanya dengan proses pilihan raya di Malaysia. Hal ini kerana kedua-dua buah negara perlu melalui proses yang sama bermula dari penamaan calon hinggalah ke proses buangan undi, cuma yang membezakan di antara pilihan raya kedua-dua negara adalah dari segi pemilihan langsung Presiden dan timbalannya di Indonesia atau Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Malaysia. Pada Pilihan Raya Umum Indonesia 2004 merupakan pilihan raya umum pertama di mana para pengundi dapat memilih calon-calon Presiden dan Timbalan Presiden Indonesia secara langsung yang akhirnya dimenangi oleh Susilo Bambang Yudhoyono. Berbanding di Malaysia, calon Perdana Menteri dilantik secara rasmi oleh Yang Di-Pertuan Agong dan bukan melalui proses pengundian oleh rakyat.

Akibat kemenangan itu, pertukaran kekuasaan berlangsung dengan lancar dan merupakan suatu peristiwa bersejarah bagi Indonesia yang belum pernah mengalami sebarang pertukaran kekuasaan tanpa huru-hara. Hal yang sama juga berlaku ke atas Malaysia apabila berlakunya proses peralihan kuasa di mana tampuk pemerintahan Barisan Nasional (BN) dirampas oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Proses peralihan kuasa berlangsung secara aman namun sedikit pincang apabila berlakunya ‘serangan’ siber oleh tentera alam maya pembangkang yang cuba untuk melemahkan pentadbiran kerajaan PH dengan cara halus.

Proses peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan secara aman pada 9 Mei tahun lalu membuktikan politik matang Malaysia

Sekiranya rusuhan pilihan raya berlaku di kedua-dua buah negara, ia secara langsung memberikan kesan dan impak yang negatif terhadap pembangunan di rantau Asia, terutamanya dari segi ekonomi. Ini kerana kedua-dua buah negara merupakan antara negara pengeluar terbesar tanaman kelapa sawit dan getah. Jadi, sekiranya ketegangan berlaku sudah pasti ia menimbulkan kesan seperti kejatuhan harga pasaran bagi kedua-dua hasil terbabit yang akan melemahkan ekonomi dan aliran matawang negara.

Selain itu, rusuhan ini juga akan memberikan tanggapan buruk dunia terhadap pemimpin negara-negara Asia Tenggara. Sudah pasti mereka menganggap politik di Asia Tenggara ini dikuasai oleh wang (cash is king) kerana tidak perlu bersusah payah untuk bertanding cuma sekadar mencipta polemik murahan berunsurkan wang dan segala-galanya berada dalam genggaman.

Justeru, kerajaan Malaysia perlulah memastikan segala proses pilihan raya yang berlaku di negara ini berjalan dengan ‘bersih’ tanpa sebarang kekacauan. Kerajaan juga perlulah menyediakan satu platform bagi pihak-pihak tertentu untuk membuat aduan mengenai salah laku di dalam pilihan raya negara ini. Para Menteri seharusnya mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di Indonesia. Jangan kerana dahagakan kedudukan politik, rakyat menjadi ‘perisai’ untuk anda berlindung di sebaliknya dan akhirnya mereka menjadi mangsa kerakusan atas nama ‘pengorbanan’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here