Mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012), segala bentuk perhimpunan adalah dibenarkan dengan didahului notis pemberitahuan. Namun, sekiranya berlaku kesalahan yang boleh menimbulkan kekacauan, kekerasan jenayah atau menjadi tidak aman, sesiapa yang terlibat akan diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan.

Isu Zakir Naik dan tulisan khat terus menjadi perdebatan hangat masyarakat sehingga terdapat pihak ingin menganjurkan perhimpunan Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil dan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Others Races’.

Walau bagaimanapun, notis yang dikemukakan oleh pihak penganjur kedua-dua himpunan tersebut adalah tidak lengkap dan tidak mematuhi keperluan undang-undang. Oleh itu, pihak polis telah mengeluarkan arahan larangan berhimpun serta orang ramai dinasihati agar tidak turun menyertai perhimpunan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Polemik zakir naik cetus perbalahan netizen

Sejak kebelakangan ini, perhimpunan sering menjadi acara wajib bagi segelintir pihak yang ingin melakukan bantahan terhadap sesuatu isu. Walaupun ia adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia namun ia tidak seharusnya menjadi kebiasaan dalam menyuarakan sebarang pendapat dan bantahan.

Walaupun perhimpunan adalah dibenarkan sebagai tanda hak kebebasan bersuara, ia tidak seharusnya dilakukan sekiranya tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, pihak penganjur dan peserta himpunan seharusnya patuh terhadap undang-undang serta keputusan pihak berkuasa.

Memang benar perhimpunan adalah salah satu cara dalam menyuarakan pendapat bagi menarik perhatian pihak berkenaan. Namun, jangan kita nafikan bahawa sesuatu perhimpunan itu juga berpotensi untuk tidak berjalan secara aman kerana kemungkinan berlakunya provokasi juga boleh berlaku.

Perhimpunan bantahan tulisan khat tidak dapat kelulusan PDRM

Sekiranya perhimpuann tidak berjalan lancar, ia sudah pasti akan memberikan kesan buruk terhadap kawasan dan penduduk setempat. Selain itu, insiden pergaduhan atau keganasan juga boleh berlaku seterusnya memberi impak kepada keselamatan kawasan sekitar. Ini belum dikira sekiranya berlakunya sebarang kerosakan dan masalah kebersihan yang mampu menjejaskan penduduk.

Justeru itu, diharapkan semua pihak dan rakyat Malaysia perlu lebih matang dalam menyuarakan sebarang pendapat terhadap sesuatu isu. Mengadakan perhimpunan sememangnya dibenarkan namun ia bukanlah alasan terbaik untuk kita menyertai perhimpunan.

Sebagai rakyat Malaysia yang sering berbangga dengan ‘demokrasi’, kita juga seharusnya bersikap lebih matang dan saling menghormati terhadap kepelbagaian budaya yang dimiliki di negara ini. Jangan kerana terlalu taksub dalam mempertahankan pendirian kita, ibarat ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’ kita lupa bahawa tindakan kita mungkin mampu merosakkan kemakmuran negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here