Sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu, suasana politik di Malaysia telah berubah hampir 180 darjah. Banyak kejutan berlaku kerana PH seperti menang mudah dalam PRU lalu disebabkan oleh faktor seperti kontroversi melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan juga pengaruh Tun Mahathir yang kembali aktif dalam politik.

Perubahan kerajaan juga menyaksikan banyak dasar-dasar kerajaan lalu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Projek-projek mega seperti Projek Rail Pantai Timur (ECRL) serta Projek Rail Kelajuan Tinggi (HSR) telah diberhentikan kerana hutang negara yang terlalu tinggi.

Senario politik negara juga menyaksikan kemunculan semula bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh dari Yang di-Pertuan Agong. Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia telah melihat gabungan ‘orang lama’ politik seperti Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar dan YB Lim Kit Siang duduk semeja untuk menguatkan pengaruh PH kepada rakyat.

Kejayaan PH mengambil alih Putrajaya dalam PRU14 telah mengubah landskap politik di Malaysia

Kerjasama ketiga-tiga pemimpin dalam satu gabungan parti politik ini dianggap fenomena baru kerana rakyat tahu Datuk Seri Anwar dan YB Lim Kit Siang dahulunya tidak ‘sebulu’ dengan Tun Mahathir dan sering menyerang satu sama lain dalam pentas ceramah politik. Jadi kerjasama ini telah berjaya mengubah landskap politik Malaysia untuk menentang BN dan PAS.

Malah, kerjasama dalam PH telah menyebabkan BN terpaksa mencari ‘rakan baru’ untuk memperkukuhkan blok pembangkang dan tiada parti lain yang mampu menggugat sokongan rakyat kepada kerajaan selain daripada PAS. Kerjasama kedua-dua parti ini juga perkembangan baru kerana mereka dianggap musuh ketat sejak PAS dipecat dari BN pada tahun 1977. Kerjasama mereka hanyalah untuk perjuangan orang Melayu dan Islam sahaja serta tidak akan bergabung seperti PH.

Walaupun begitu, kerjasama BN dan PAS telah memberi impak yang mampu menggugat pengaruh PH kepada rakyat. Ini boleh dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands dimana calon BN telah mendapat sokongan dari PAS hingga berjaya menewaskan calon dari PH. Ia juga menjadi permulaan kepada kerjasama BN dan PAS yang akan dikuatkan lagi pada masa akan datang.

Gabungan DS Anwar dan Tun Mahathir telah menarik perhatian ramai pihak

Selain itu, khabar angin tentang undi tidak percaya kepada kepimpinan Tun Mahathir telah sedikit sebanyak menggoncangkan kestabilan politik negara kerana khabar angin tersebut boleh menjejaskan imej PH kepada rakyat. Sudah pasti rakyat tidak mahu melihat jawatan Perdana Menteri ini dijadikan agenda politik kerana rakyat telah memberi kepercayaan kepada PH untuk memerintah dan sudut pandangan rakyat tidak boleh diketepikan hanya untuk sesetengah individu sahaja.

Justeru, situasi politik di bawah Malaysia Baharu ini bakal menyaksikan ‘episod’ baru yang tidak pernah terjadi sebelum ini dan parti-parti politik tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang tidak boleh terlalu rancak untuk mengejar agenda mereka sehingga mengenepikan pandangan rakyat. Kedudukan mereka sama ada dalam kerajaan atau tidak hanya ditentukan oleh undi rakyat Malaysia dan rakyat kini sedang memerhati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here