Masalah graduan tidak mendapat pekerjaan setelah mereka menamatkan pengajian sering menjadi perkara yang membimbangkan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat universiti. Antara punca yang sering berlaku adalah pemilihan kursus tidak sesuai dengan permintaan kerja dan menyebabkan graduan terpaksa bekerja dalam bidang yang mereka tidak biasa.

Perkara ini tidak boleh dilihat dari kesilapan pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang mereka di universiti sahaja kerana ada sesetengah pelajar tidak mendapat bidang yang mereka mahu dan terpaksa untuk melanjutkan pengajian semata-mata bagi mendapatkan segulung Diploma atau Ijazah. Oleh kerana itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat permasalahan ini dan akan memperkenalkan portal panduan pemilihan kursus menggunakan analisis data raya bagi pelajar lepasan SPM mulai tahun 2020.

Menteri Pendidikan, YB Maszlee Malik menyatakan pihak kementerian sudah menubuhkan kumpulan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Data Raya dan akan bekerjasama dengan pihak industri, universiti awam serta swasta untuk mendapatkan data yang lengkap. Data tersebut akan digunakan bersama keputusan peperiksaan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima ke dalam portal menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kesesuaian pemilihan kursus oleh pelajar.

KPM sudah menubuhkan Jawatankuasa Data Raya untuk dapatkan data lengkap pelajar – Maszlee Malik

Selain itu, penggunaan portal ini akan memudahkan pelajar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan, rekod aktiviti kokurikulum dan projek yang dijalankan di sekolah dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan. Gabungan keputusan peperiksaan dan data tersebut membolehkan portal ini akan menganalisis kursus yang sesuai untuk pelajar sebagai panduan pemilihan menyambung pelajaran di universiti awam atau swasta kelak.

Portal tersebut juga akan menyediakan maklumat peluang pekerjaan dalam pasaran bagi kursus itu pada tempoh tamat pengajian. Ia bakal memudahkan lepasan graduan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidang mereka dan majikan juga boleh mencari graduan sesuai untuk memenuhi keperluan syarikat. Data dari portal turut membuat analisis tentang berapa gaji sesuai untuk kursus dipilih selepas tamat pengajian.

Di samping itu, usaha KPM memperkenalkan portal bantu pelajar ini juga diterima baik oleh netizen kerana ia dapat menjadi salah satu medium kepada pelajar untuk lebih memahami pemilihan dalam bidang pengajian. Tetapi ada netizen berpendapat, Kementerian Pendidikan juga perlu mewujudkan kursus yang berkaitan dengan bidang industri dan juga soft skill diajar seperti kemahiran asas perisian komputer, bekerja dalam kumpulan dan sebagainya kerana ia juga salah satu keperluan untuk memohon pekerjaan.

Perlaksanaan portal dapat bantu pelajar mencari khusus sesuai untuk melanjutkan pelajaran

Justeru, pengenalan portal untuk membantu pelajar memilih kursus sesuai ini adalah usaha yang baik dan tepat oleh KPM kerana ada segelintir pelajar yang masih keliru untuk memilih bidang sesuai selepas mereka mendapat keputusan SPM. Walau bagaimanapun, pihak kementerian perlu memastikan kursus yang terdapat di universiti awam dan swasta perlulah berkait rapat dengan permintaan dari pihak majikan juga. Mana-mana kursus yang tidak sesuai perlulah dimansuhkan jika tidak ada permintaan dari pihak majikan.

Pihak KPM juga perlu melihat jumlah kekosongan peluang pekerjaan yang terdapat di Malaysia supaya ianya selari dengan pengambilan kursus oleh pelajar. Jika tidak, masalah pengangguran tidak akan diselesaikan dengan baik kerana peluang tidak diberikan kepada graduan dan usaha pihak KPM ini juga tidak dapat membantu pelajar dalam masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here