Sektor agromakanan ditakrifkan sebagai aktiviti yang menggabungkan pengeluaran dan pemasaran produk agromakanan yang merangkumi pengeluaran asas atau pemprosesan dalam subsektor pertanian iaitu ternakan, perikanan dan tanaman. Sebagai contoh industri minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit adalah produk agromakanan yang berpotensi menjadi pilihan sesuai untuk kegunaan penduduk di dunia. Ini kerana komoditi itu merupakan antara minyak masak yang ditawarkan pada harga berpatutan berbanding minyak kacang soya, minyak bunga matahari dan minyak zaitun. Malah potensi agromakanan seperti minyak sawit Malaysia di negara Afrika adalah luas, disokong oleh pertumbuhan ekonominya yang rancak sekaligus mampu meningkatkan permintaan terhadap minyak masak.

Minyak sawit produk agromakanan 

Terdapat beberapa kebaikan sektor agromakanan antaranya ia mampu menjana ekonomi negara. Pengeksport Malaysia boleh mengambil kesempatan dengan memperkenalkan buah-buahan eksotik yang belum ada di pasaran negara ini atau yang telah ada namun kepelbagaiannya terhad seperti pisang yang menjadi antara kegemaran warga Netherlands. Secara tidak langsung ia meningkatkan nilai eksport produk agromakanan Malaysia ke luar negara dan menambah pendapatan negara.

Perluas tanam jagung untuk ternakan

Realitinya, ia juga mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada import melalui meningkatkan penghasilan sumber bahan makanan. Sebagai contoh, tanaman jagung bijirin bukan saja menjadi sumber bekalan kepada penternak ayam malah dilihat memberi potensi pasaran yang besar kepada pengusaha di negara ini. Oleh itu, kerajaan boleh memperluaskan penanaman bijirin berkenaan bagi memastikan Malaysia tidak lagi bergantung kepada import makanan sebaliknya mampu menghasilkan sendiri produk makanan yang berkualiti tinggi.

Malah melalui sektor agromakanan ianya juga mampu menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan berasaskan aktiviti dan industri pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agro pelancongan. Ini akan mengurangkan pengangguran sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan golongan muda.

Oleh itu, sektor agromakanan dapat dimanfaat sepenuhnya sekaligus membolehkan masyarakat petani, penternak, nelayan dan usahawan asas tani memperoleh batas ekonomi yang lebih besar, akses kepada pasaran yang lebih luas dan rangkaian pengedaran yang lebih efisien.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here