9 Mei 2019 genap setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah. Pada awal pemerintahan, rakyat sangat teruja dengan slogan ‘Malaysia Baharu’ yang dibawa oleh PH. Rakyat mengharapkan ‘Malaysia Baharu’ ini mampu memberi pembaharuan dari segi ekonomi negara, kestabilan harga barang, pinjaman pendidikan, kadar tol percuma dengan penurunan harga minyak RM1.50 seliter seperti yang dijanjikan.

Namun keterujaan rakyat melaungkan slogan ‘Malaysia Baharu’ semakin hambar. Mana tidaknya, harapan rakyat untuk melihat pembaharuan yang positif semakin kelam. Kerajaan menunaikan janji untuk menghapuskan GST dengan kadar cukai 6 peratus bagi memberi laluan semula kepada SST.

Tujuan penghapusan ini untuk mengurangkan kos kenaikan harga barangan. SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018 dengan kadar 10 peratus untuk cukai jualan dan 6 peratus bagi cukai perkhidmatan. Tetapi rakyat melihat kos barangan masih pada kadar yang sama, malah terdapat kenaikan harga untuk barangan asas seperti ikan kering yang dikenakan cukai SST.

Pada awal pemerintahan kerajaan PH, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ada mengeluarkan laporan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Penangguhan bayaran PTPTN yang ditarik balik

Tetapi pada November 2018, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa PH sukar untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik PTPTN akibat kedudukan fiskal negara. Adakah kedua-dua menteri ini tidak membuat sebarang perbincangan sebelum mengeluarkan apa-apa keputusan?

Kerajaan berhadapan dengan konflik kemarahan dan kebangkitan rakyat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.Waytha Moorthy mencadangkan kepada kerajaan untuk meratifikasikan ICERD. Ratifikasi perjanjian ICERD ini akan memberikan kesan langsung terhadap Perkara 153 yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 adalah berkenaan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra. Tetapi kerajaan menafikan untuk menandatangani perjanjian ICERD selepas melihat kemarahan rakyat.

Kerajaan bukan sahaja ‘berjaya’ membuat rakyat marah, bahkan institusi diraja terutamanya kerabat diraja Johor juga dilihat ‘tidak sebulu’ dengan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad. Konflik di antara dua kuasa ini semakin ketara apabila kerajaan mengumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution telah menandatangani perjanjian Statut Rom.

Apa yang menjadi punca kemarahan ialah tiada sebarang perbincangan di antara wakil Kerajaan Persekutuan dengan Majlis Raja-Raja berkenaan perjanjian itu. Perjanjian Statut Rom ini dikatakan akan memberi kesan kepada kekebalan institusi diraja Malaysia.

Berdasarkan kepada konflik di antara kerajaan dengan rakyat dan institusi diraja, keputusan pilihan raya dan prestasi barisan anggota kabinet, tidak banyak markah yang boleh diberikan secara keseluruhan. Kebanyakan idea kerajaan hanyalah ‘rebranding’ daripada kerajaan Barisan Nasional. Antaranya Klinik 1 Malaysia dijenamakan dengan Klinik Komuniti. Program Permata dinamakan semula sebagai Genius. BR1M ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan jumlah yang semakin berkurangan dan syarat yang semakin sukar untuk rakyat.

Permata projek kerajaan terdahulu yang dijenamakan semula

Prestasi barisan kabinet juga belum meyakinkan sehingga ada yang mempersoalkan kemampuan sesetengah daripada mereka, termasuk beberapa Menteri Besar. Perdana Menteri sendiri pernah menegur barisan anggota Kabinet supaya berubah dan bertindak sebagai kerajaan, bukan seperti ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Secara jujurnya, populariti kerajaan PH turun secara mendadak. Kekalahan di dalam beberapa siri pilihan raya kecil menjadi kayu pengukur penerimaan rakyat terhadap kerajaan PH. Malah terdapat beberapa desakan agar berlakunya pembubaran Kerajaan Persekutuan.

Setahun adalah satu tempoh matang bagi kerajaan di bawah pimpinan tokoh pemimpin negara Tun Dr Mahathir Mohamad. Rakyat mengharapkan tokoh ini mampu membela nasib rakyat, memberikan perubahan kepada ekonomi negara dan menghumban bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib ke tirai besi. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Maka, rakyat boleh menilai sendiri berapa agaknya markah untuk kad laporan pencapaian Kerajaan PH? Adakah pencapaian Kerajaan Pakatan Harapan memuaskan atau hanya sekadar Kerajaan Tiada Harapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here