Pilihanraya Kecil (PRK) Rantau sudah ada tarikhnya iaitu pada 13 April 2019. Pilihanraya ini boleh dikatakan sebagai indikator kepada penerimaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sebelum ini pada PRK Cameron Highland dan Semenyih, PH sudah tidak mampu untuk memenangi hati rakyat. Apa nak dikata, rakyat sudah tidak mahu. Tetapi jika diukur berdasarkan kemenangan dalam enam PRK sebelum ini, PH masih mendahului Barisan Nasional (BN) dengan rekod empat berbalas dua.

Adakah ini petanda awal gelombang protes rakyat terhadap PH? Tetapi PH masih lagi mempunyai rekod kemenangan PRK di Dun Sungai Kandis, Seri Setia, Parlimen Port Dickson dan Balakong. Adakah gelombang protes ini tidak wujud atau wujud tidak kuat semasa empat PRK itu berlangsung memandangkan PRK tersebut berlangsung pada tahun yang sama kemenangan PH.

Walaupun pahit untuk menyatakannya namun tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan PH sedang ‘diboikot’ oleh rakyat terutamanya kaum Melayu. Buktinya peratusan mengundi Melayu di Cameron Highland ialah 33.4 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain yang kebanyakkannya orang Asli ialah 23.6 peratus. Kemenangan Ramli Mohd Nor yang meraih 12,038 undi menewaskan calon PH, Manogaran dengan 8,800 undi menunjukkan bahawa kaum Melayu masih lagi yakin dengan pemerintahan BN.

Himpunan membantah ICERD yang menyaksikan penyatuan umat Islam

Baiklah, jika alasan menyatakan Cameron Highland memang ‘kawasan’ BN, tetapi bagaimana pula dengan kekalahan di Semenyih? Semenyih sememangnya antara salah satu kubu kuat PH walaupun semasa BN memegang tampuk pemerintahan negara. Tetapi mengapa ketika kerajaan BN diambil alih oleh PH, DUN Semenyih jatuh ke tangan Zakaria Hanafi, iaitu calon BN. Semenyih kini milik pembangkang.

PRK Rantau bakal menjadi debaran hebat kepada PH terutama sekali kepada calon PKR Dr. S. Streram. Walaupun BN masih belum mengeluarkan nama calon yang bakal bertanding, namun, calon PKR itu dikatakan bakal bertanding dengan ‘orang kuat’ Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan. Masih terlalu awal untuk menilai kemenangan akan berpihak kepada siapa, tetapi jika berdasarkan rekod di atas kertas, BN masih lagi mendahului PH.

Komposisi pengundi yang terdiri daripada kaum Melayu (53.43 peratus), Cina (18.81 peratus), India (27.01 peratus) dan lain-lain kaum (0.75 peratus) secara kasarnya masih menunjukkan kemenangan akan berpihak kepada BN, terutama jika ianya melibatkan figura penting UMNO, Tok Mat.

Menjelangnya PRK Rantau, kita boleh lihat banyak isu yang tidak memihak kepada PH. Antaranya ialah Himpunan LGBT di Sogo pada 9 Mac 2019. Sebelum itu mengenai keputusan kerajaan Malaysia menandatangani Rome Statute of the International Criminal Court pada 4 Mac 2019 yang menjadi polemick di media sosial. Isu ini juga telah menimbulkan kemarahan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim apabila ada yang menyatakan apabila Malaysia menandatangani perjanjian ini, kekebalan raja-raja Melayu bakal hilang. Seterusnya mengenai isu kaum Melayu dan India yang dikatakan sukar untuk mendapat pekerjaan apabila kelebihan menguasai bahasa Mandarin diberi keutamaan.

Himpunan LGBT yang kononnya mahu memperjuangkan ‘hak’ mereka

Isu-isu yang berkaitan di atas terus menimbulkan kemarahan rakyat dan menjadi penghubung kepada kebangkitan umat Islam dan Melayu. Oleh itu PH perlu bekerja keras untuk meraih pengundi DUN Rantau kerana isu-isu yang dibangkitkan akan mengukuhkan lagi komponen gabungan parti UMNO dan PAS.

Maka, kerajaan perlu bijak menggunakan kelebihan sebagai tampuk pemerintah untuk terus memancing undi. Rakyat tidak mahu tahu masalah dalaman politik, apa yang mereka mahu adalah pelaksanaan janji yang pernah ditaburi oleh PH semasa PRU-14. Mereka mempertikaikan, jika tidak mampu, mengapa perlu berjanji. PRK Rantau adalah indicator samada kerajaan masih diterima oleh rakyat atau tidak. Belum terlambat untuk PH bekerja keras!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here