Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih bakal menyaksikan bertembungan baru di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) setelah penyandangnya YB Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. PRK untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru ini akan berlangsung pada 2 Mac 2019 dan akan menyaksikan pertembungan tiga parti dan satu calon bebas untuk merebut kerusi di N24 tersebut.

PH dan BN telah meletakkan calon tempatan untuk bertanding di N24 dengan PH menamakan Bendahari PPBM Aiman Zainali sebagai calon. Manakala BN pula telah meletakkan nama bekas Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Semenyih, Zakaria Hanafi sebagai calon. PRK ini juga akan ditandingi calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz yang merupakan aktivis sepenuh masa.

Kesemua parti yang bertanding di Semenyih telah mengerakkan jentera mereka untuk berkempen bagi persiapan menjelang PRK dan pemimpin-pemimpin parti juga sudah mula menampilkan diri mereka untuk menarik sokongan undi rakyat di sana. PRK ini bakal menyaksikan persaingan sengit di antara blok kerajaan dan pembangkang kerana ini merupakan PRK kedua selepas PRK P78 Cameron Highlands yang menyaksikan PH tewas buat kali pertama sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu kepada BN.

PH dan BN meletakkan calon tempatan untuk menghadapi PRK N24 Semenyih

Oleh kerana itu, kedua-dua parti berusaha untuk memenangi hati pengundi untuk memperkuatkan pengaruh mereka dalam kalangan rakyat. Malah, PRK ini akan menyaksikan calon muda menentang calon berpengalaman dan parti-parti yang bertanding mempunyai agenda tersendiri untuk memenangi PRK ini. PH sudah semestinya mahu mengekalkan kerusi N24 di bawah pentadbiran PH dan mengukuhkan kuasa serta pengaruh PH di Selangor. BN pula mahu merampas kembali kerusi N24 ini yang dipegang mereka pada tahun 2004 hingga 2018.

PH juga dilihat mempunyai kelebihan kerana mereka mentadbir kerajaan sekarang dan boleh merangka pembangunan untuk Semenyih. Oleh kerana itu, PH aktif dalam melakukan program bersama rakyat Semenyih supaya mereka terus memberi kepercayaan kepada PH. Akan tetapi PH tidak boleh memandang ringan cabaran BN untuk memenangi kembali kerusi N24 kerana faktor kerjasama BN dan PAS yang semakin erat. Ia boleh dibuktikan dengan PRK P78 Cameron Highlands lalu apabila BN menang dengan majoriti besar hasil daripada kerjasama kedua-dua parti tersebut.

PRK N24 Semenyih bakal menjadi penanda arah sokongan rakyat terhadap PH atau BN

Justeru, PRK N24 Semenyih ini bakal menjadi titik tolak kepada senario politik terkini untuk melihat sama ada trend sokongan rakyat masih menyebelahi kerajaan baharu atau menerima tentangan dari pengaruh BN yang mula kembali mendapat tempat dalam hati rakyat. Kehadiran mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Semenyih yang tular kerana mendapat sambutan tinggi rakyat telah membuka mata ramai pihak tetapi ia tidak boleh menjadi kayu pengukur kepada sokongan rakyat terhadap BN.

Maka, wajar untuk melihat PRK ini bakal menjadi persaingan sengit di antara PH dan BN. Ini kerana mereka bukan sahaja mahu memenangi kerusi tersebut, tetapi ia akan melihat sama ada PH akan kekal menjadi kuasa dominan di Selangor atau kerjasama BN serta PAS telah mula mencuri hati pengundi di kawasan yang majoritinya adalah Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here