Program Pendidikan Celik Kewangan (Pro Du-It) mula dikembangkan di peringkat kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bermula pada tahun 2019. Menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik  program ini mula dibangunkan melalui Johor Corporation (JCorp) pada tahun 2017 sebelum dikembangkan di zon tengah pada 2018 dengan penglibatan daripada tiga buah negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Objektif program adalah untuk mendidik pelajar terutamanya di peringkat sekolah mengenai pengurusan kewangan. Melalui program ini, pelajar sekolah akan didedahkan mengenai kepentingan berbelanja secara berhemah selain daripada membendung budaya pembaziran.

Inisiatif oleh pihak Kementerian Pendidikan untuk meneruskan ‘Pro Du-It’ wajar dimanfaatkan oleh semua pihak. Pendidikan kewangan perlu menjadi antara agenda dan strategi nasional untuk memperkasa pengurusan kewangan dengan lebih baik.

Sejak program ‘Pro Du-It’ diperkenalkan, seramai 120 orang guru daripada 60 buah sekolah telah berjaya melahirkan 1,800 pelajar celik kewangan. Melalui program ini, pelajar digalakkan membuka akaun simpanan dan membuat catatan rekod harian mereka di buku log yang dibekalkan. Peserta yang memenuhi kriteria akan diberikan anugerah untuk menaikkan semangat bagi terus menyimpan wang.

Program yang menjurus kepada kebaikan ini perlu diperluaskan bukan sahaja di peringkat sekolah, bahkan sehingga ke peringkat universiti dan sektor-sektor awam serta swasta. Ini kerana rakyat Malaysia masih lagi mempunyai pengetahuan yang rendah mengenai pengurusan kewangan.

Rakyat Malaysia perlu diberi kesedaran tentang tabung persaraan

Pada peringkat universiti, Kementerian Pendidikan boleh menganjurkan pameran dan seminar mengenai pengurusan kewangan, pelaburan dan hartanah. Pameran dan seminar ini dapat mendidik dan memberi gambaran kepada pelajar universiti tentang bagaimana untuk menjana pendapatan sampingan, pendapatan pasif dan seterusnya pelaburan dalam bidang-bidang yang mampu menjana keuntungan seperti hartanah dan perniagaan.

Manakala pada peringkat sektor awam dan sektor swasta pula, pekerja boleh didedahkan mengenai pengurusan kewangan apabila bersara kelak. Bagaimana untuk memastikan pendapatan pelaburan pada masa muda ini, mampu untuk menyara kehidupan pada hari tua.

Realitinya, kebanyakan daripada pekerja Malaysia yang mencarum di dalam KWSP hanya bergantung kepada simpanan itu selepas bersara. Mengikut statistik sebanyak 57 peratus golongan bumiputra bukan Melayu tidak mempunyai sebarang aset kewangan, diikuti golongan Melayu (55%), Cina (45%) dan India (44%).

Kebanyakan rakyat Malaysia terlalu bergantung pada wang KWSP apabila bersara

Ertinya, kerajaan perlu mewujudkan satu program seperti ‘Pro Du-It’ ini kepada golongan pelajar universiti dan pekerja di kedua-dua sektor berkenaan. Jika tidak kerajaan juga boleh menganjurkan program ‘Pro Du-It’ secara berperingkat iaitu di peringkat sekolah, universiti dan sektor pekerjaan dengan modul yang berbeza mengikut kesesuaian.

Program seumpama ini perlu diperluaskan dan diperkukuhkan modulnya sehingga ke seluruh Malaysia, supaya rakyat negara ini terdidik mengenai pengurusan kewangan. Secara tidak langsung, ianya boleh membantu negara dalam memperkukuhkan ekonomi, mengurangkan jurang kemiskinan dan melahirkan rakyat yang bijak dalam pengurusan kewangan untuk masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here