Malaysia sebagai sebuah negara membangun sebenarnya telah menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Sudah tiba masanya rakyat tidak lagi mengagung-agungkan produk dari luar. Ini kerana produk keluaran Malaysia sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran Malaysia dijamin jauh lebih baik berbanding produk dari luar. Dalam menghadapi dunia globalisasi, rakyat perlu mengikis sikap ego yang sama sekali tidak menguntungkan negara kerana memandang rendah produk keluaran Malaysia sebaliknya perlu membina semangat Malaysia Boleh untuk mengubah mentaliti bagi menyanjungi produk keluaran Malaysia.

Sebut sahaja apa jua jenis produk keluaran tempatan, Malaysia sebenarnya mempunyai segala-galanya. Sebagai contoh rempah BABA’s mempunyai lebih 30 produk terdiri daripada Masala Mixes, Pure Spice Powders, Pure Flours, Staple Food Mixes dan lain-lain lagi. Pada hari ini, produk BABA’S turut boleh dijumpai di luar negara seperti Australia, Kanada, China, Fiji dan United Kingdom. Selain itu, biskut Munchy’s LEXUS perisa coklat dan mentega kacang boleh didapati di banyak negara termasuklah di Hong Kong, Iraq, Singapura, Korea Selatan, dan Bahrain. Malahan Air Mineral Spritzer turut mengeksport produk mereka ke Singapura, Brunei, Hong Kong, Taiwan dan Papua New Guinea. Di samping itu, Padini pakar dalam menghasilkan pakaian dan menjual secara wholesale serta beberapa jenama lain yang bernaung di bawah Padini seperti VINCCI, MIKI, dan SEED turut mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara seperti Thailand dan Timur Tengah.

Jenama pakaian Padini dan kasut wanita Vincci milik anak tempatan iaitu Yong Pang Chaun dan isterinya Chong Chin Lin. Jenama ini telah mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara seperti Thailand dan Timur Tengah

Sayang sekali, rakyat Malaysia lebih mendombakan produk import berbanding produk tempatan. Punca rakyat lebih mengutamakan produk import berbanding produk keluaran Malaysia adalah kerana masyarakat lebih yakin terhadap kualiti produk import. Rakyat Malaysia mendewa-dewakan produk import kerana menganggap penggunaan produk import dapat memperlihatkan gaya hidup yang mewah. Mereka memandang rendah produk keluaran Malaysia dan beranggapan barangan tempatan mudah rosak atau tidak tahan lama. Malahan, produk import kononnya lebih banyak pilihan yang menepati citarasa pengguna jika dibandingkan dengan produk tempatan yang terhad. Sebagai contoh Perodua dan Proton tidak mampu bersaing dengan jenama kereta dari luar terutamanya daripada aspek teknologi, kekuatan jenama serta mereka menganggap adalah lebih berbaloi membeli kereta jenama luar, walaupun harganya lebih tinggi.

Selain itu, membeli produk import dapat memberikan kepuasan peribadi kepada pengguna. Ini kerana hobi sesetengah pengguna yang lebih gemar mengumpul sesuatu barangan seperti kasut dan minyak wangi pastinya akan menggalakkan mereka membeli barangan tersebut yang diimport untuk menambah koleksi mereka. Bagi mereka yang gemar perabot mewah, mereka akan membeli perabot-perabot yang diimport dan tidak boleh didapati di Malaysia.

Di samping itu, dengan penggunaan produk import, kehidupan seseorang lebih mewah berbanding produk keluaran Malaysia. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia yang berkedudukan tinggi gemar menggunakan produk import dengan tujuan memperlihat kedudukan mereka kepada rakan-rakan dan pihak-pihak tertentu. Hal ini kerana mereka berpuas hati sekiranya dapat menggunakan produk import yang ternyata lebih mahal sekaligus menunjukkan status tinggi dalam masyarakat.

Oleh itu, pihak kerajaan perlulah bekerjasama dengan pihak swasta mengambil langkah proaktif untuk mempromosikan dan memberi kerjasama kepada pengguna terhadap produk keluaran tempatan. Salah satu langkahnya adalah dengan mengadakan ekspo di seluruh negara bagi memperkenalkan produk keluaran mereka kepada pengguna. Usaha yang bersepadu amat perlu untuk mempromosikan produk tempatan kepada pengguna. Kempen seperti Belilah Barangan Buatan Malaysia juga perlu dipergiat agar dapat menanam minat serta keyakinan rakyat terhadap produk buatan negara.

Sehubungan dengan itu, peranan pengusaha adalah amat penting dalam usaha menarik minat pengguna. Pihak berkenaan boleh menawarkan potongan harga yang istimewa bagi produk keluaran tempatan sahaja. Dalam pendekatan sedemikian, pasaraya ternama seperti Giant, Tesco, Aeon, Parkson dan sebagainya boleh menterjemahkan hasrat kerajaan menggalakkan orang ramai membeli produk keluaran Malaysia. Sekiranya harga produk keluaran Malaysia berpatutan, pengguna termasuk pelancong asing pasti tertarik untuk membelinya dan seterusnya melariskan jualan produk keluaran Malaysia.

Pasaraya ternama seperti Tesco, Giant, Aeon menawarkan potongan harga istimewa bagi menarik pengguna dan pelancong asing membeli produk keluaran tempatan

Justeru itu, rakyat Malaysia seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk menyokong produk keluaran tempatan. Kita perlulah seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli produk keluaran tempatan. Negara kita, tanggungjawab kita. Marilah kita berbangga terhadap produk keluaran tempatan yang bermutu tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here