Masalah kewangan adalah salah satu isu utama dalam menjalani kehidupan sebagai penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT). Jika dahulu segala keperluan dan perbelanjaan disediakan oleh ibu bapa, di peringkat IPT bukan sahaja kewangan, malah banyak aspek lain yang perlu diuruskan seperti penglibatan akademik dan penyediaan keperluan harian. Situasi ini merupakan cabaran kepada pelajar untuk menghadapinya dengan lebih matang. Selain daripada kos perbelanjaan akademik seperti buku rujukan dan yuran pengajian, kekangan kewangan lebih dirasai apabila terdapat pelajar yang tinggal di luar kampus terpaksa membayar kos lain yang lebih besar.

Kerajaan memahami kesusahan rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup menangani kos sara hidup khususnya bagi pelajar IPT. Oleh itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa skim dan program bagi membantu meringankan beban pelajar. Antara program yang telah dilaksanakan adalah mewujudkan pinjaman dan biasiswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan lain-lain.

Kerajaan juga sentiasa prihatin akan keluhan pelajar apabila baru-baru ini kerajaan juga telah mengumumkan bantuan wang tunai RM100 di bawah skim Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) yang menggantikan BB1M serta Menteri Pendidikan juga turut berjanji akan mengembalikan semula baucer buku RM250. Ini adalah antara langkah awal yang di ambil oleh kerajaan dalam membantu meringankan beban pelajar.

Bantuan Rm100 kepada pelajar IPT disalur pada hujung Mac

Sementara itu, beberapa bantuan pendidikan lain juga sememangnya diperlukan oleh pelajar bagi memastikan proses pengajian mereka berjalan lancar mengikut tempoh perancangan yang ditetapkan. Seperti sedia maklum, kekangan kewangan adalah masalah utama yang sering membelenggu pelajar IPT. Oleh itu, adalah wajar sekiranya kerajaan mempertimbangkan untuk meneruskan semula beberapa skim dan program yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti MyBrain15 iaitu skim pembiayaan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan untuk Sarjana (Master) dan Kedoktoran (PHD) serta mengembalikan potongan 20 peratus kepada peminjam PTPTN yang membuat bayaran penuh pinjaman mereka.

Kekangan kewangan bagi meneruskan pengajian sentiasa menjadi halangan bagi sesetengah individu terutamanya pelajar yang datang dari golongan B40 dan M40. Oleh itu, bantuan seperti Skim Pembiayaan pendidikan Tinggi (SPIN) adalah sangat penting bagi membantu mereka meneruskan pengajian. Kerajaan juga boleh memperluaskan lagi skim bantuan pelajar dengan menetapkan beberapa kriteria dan kategori supaya pelajar boleh memohon mengikut kriteria yang bersesuaian dengan mereka. Hal ini penting kerana di dalam kelompok pelajar di Malaysia terdapat pelbagai golongan dan tahap akademik yang berbeza.

Kerajaan perlu mempergiatkan usaha bantu ringankan beban pelajar

Ketidakmampuan pelajar menanggung kos pengajian akan menyebabkan mereka terus tercicir dari segi pendidikan walaupun mereka adalah seorang pelajar cemerlang. Selain itu, aspek pendidikan juga sangat penting dalam mempersiapkan diri mereka pada masa hadapan dalam mendapatkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi. Selain daripada kebajikan rakyat, kebajikan pelajar juga tidak seharusnya dipandang enteng oleh kerajaan dalam merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Justeru itu, adalah penting kebajikan pelajar menjadi antara agenda utama negara pada masa akan datang. Aspek pendidikan merupakana asas penting untuk negara bagi melahirkan modal insan yang cemerlang. Walau bagaimanapun, dalam memastikan objektif ini dapat dicapai, kerajaan perlu peka dalam menjaga kebajikan pelajar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here