Isu keciciran murid di sekolah bukanlah suatu persoalan yang boleh dipandang remeh. Ia melibatkan integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Sebabnya mudah, anak-anak muda ialah kesinambungan kepada kerajaan Malaysia. Mereka adalah pewaris yang akan memerintah negara. Pendidikan yang sempurna akan membantu masa hadapan mereka.

Kementerian Pendidikan Malaysia memandang isu ini sebagai suatu masalah yang perlu diberi penyelesaian dengan kadar segera. Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh KPM untuk meningkatkan enrolmen, namun isu murid tercicir di sekolah rendah dan menengah masih lagi tidak dapat dibendung. Atas dasar itu, pada 25 Julai 2018 KPM telah merangka program intervensi berfokus bagi menangani isu keciciran murid. Masalah keciciran pelajar sekolah menengah lebih ketara berbanding dengan pelajar sekolah rendah.

Kanak-kanak dan remaja yang tercicir dalam sesi persekolahan cenderung terlibat dengan jenayah

Maka, program Jawatankuasa Peningkatan Enrolmen Menengah (JPEM) dijadikan sebagai mekanisme untuk mengurangkan keciciran murid di peringkat sekolah menengah. Manakala Program Sifar Murid Cicir (PSMC) adalah program rintis yang dilaksanakan bagi menangani isu murid cicir dan kanak-kanak tidak bersekolah melalui intervensi berfokus. Program ini akan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), agensi, organisasi dan individu setempat.

Permulaan program ini akan diadakan taklimat bersama guru besar, wakil bahagian KPM, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Agama Islam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti. Antara kawasan yang terlibat dengan program ini Perlis, Langkawi, Hulu Langat, Kluang dan Kulai Johor dan Pasir Mas, Kelantan. Program ini telah berjaya membawa 267 (26.1 %) pelajar sekolah menengah dan 20 (25.6%) pelajar sekolah rendah untuk kembali ke sekolah.

Mengikut peraturan pendidikan wajib yang terkandung dalam Akta Pendidikan Pindaan (2002) semua kanak-kanak wajib mendapatkan pendidikan di sekolah rendah sekurang-kurang selama enam tahun.  Disebabkan itu, kerajaan mahu mengkaji semula akta yang sedia ada untuk mewajibkan pelajar ini menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan Lima. Perkara ini wajar dipertimbangkan, memandangkan masih lagi terdapat segelintir ibu bapa yang memandang rendah mengenai pendidikan anak-anak. Kita tidak mahu jumlah pelajar yang tercicir daripada sekolah meningkat saban tahun. Di Kelantan sahaja jumlah pelajar yang tercicir ialah 3,210 orang.

Walaupun di dalam Akta Pendidikan ada menyatakan bahawa ibu bapa yang gagal menyekolahkan anak-anak mereka boleh diheret ke mahkamah. Mereka ini mungkin akan berdepan dengan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama enam bulan. Namun menjatuhkan hukuman bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.

Pemberian insentif dan bantuan perlu difokuskan berbanding dengan mengambil tindakan undang-undang. Kebanyakan pelajar yang tercicir daripada mengikuti sesi persekolahan ini kerana masalah kewangan dan keluarga. Oleh itu, masyarakat sekeliling wajar memainkan peranan bersama-sama dengan kerajaan, organisasi dan agensi yang terlibat supaya perkara seperti ini dapat dibanteras. Namun, jika ada ibu bapa yang sememangnya ‘sengaja’ tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah, adalah wajar untuk pihak kerajaan memberikan sesi kaunseling kepada individu yang terlibat dan pemantauan yang berterusan. Turun naik mahkamah untuk menghukum ibu bapa seperti ini memerlukan prosuder yang sangat banyak.

Masyarakat setempat wajar mengambil tahu permasalahan komuniti sekeliling

Justeru itu, program Sifar Murid Cicir ini bukan sahaja terletak di bawah tanggungjawab KPM, PPD dan pihak sekolah sepenuhnya, bahkan masyarakat di sekeliling juga perlu mengamalkan konsep ‘ambil tahu hal orang lain’ supaya masalah-masalah seperti ini mempunyai jalan penyelesaiannya. Pendidikan dapat membentuk generasi muda untuk mempunyai masa depan yang baik, dan berakhlak serta mempunyai sahsiah serta moral yang tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here