Projek rumah penginapan sementara untuk waris pesakit atau lebih dikenali sebagai Projek Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) terus diperkasakan oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Projek rintis ini telah bermula pada 2006 di Hospital Selayang.

Pada September 2018, Hospital Serdang telah mendapat tajaan daripada Tenaga Nasional Berhad melalui Projek Anjung Kasih dengan konsep ‘Better Brighter Anjung Kasih @Hospital Serdang’.  Penginapan percuma untuk waris pesakit ini menawarkan 102 buah katil yang ditempatkan di kedua-dua tingkat bangunan dalam kategori katil bujang lelaki dan wanita, serta bilik keluarga.

Projek Anjung Kasih di Hospital Serdang tajaan TNB-sumber gambar Malaysia Gazette

Waris pesakit yang mendaftar masuk hanya perlu membuat bayaran deposit untuk mendapatkan kunci bilik. Kemudahan yang disediakan lengkap dengan tempat memasak, mesin membasuh dan mengeringkan pakaian, ruang permainan, bilik kaunseling dan bilik penginapan OKU.

Kemudahan ini menyasarkan waris pesakit yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, tinggal di kawasan jauh dari hospital, tidak mampu menampung kos pengangkutan ulang-alik ke hospital, tidak mampu menyewa hotel atau bilik penginapan dan menerima rawatan susulan yang tinggal jauh dari hospital.

Sehingga tahun 2019, projek ini telah disertai oleh 10 buah hospital kerajaan antaranya Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dan Hospital Tuanku Jaafar. Tidak dapat dinafikan bahawa projek ini telah mendatangkan manfaat kepada waris-waris pesakit dan sehingga kini seramai 62,551 orang telah menikmati kemudahan ini.

Encik Hembali penghuni Anjung Kasih selama sebulan di Hospital Pulau Pinang

Kemudahan penginapan di hospital ini akan terus memberi manfaat kepada rakyat daripada semua golongan terutama kumpulan B40, apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan akan meluaskan lagi projek Anjung Kasih di lima buah hospital pada tahun ini. Antara hospital yang terlibat ialah Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Duchess Of Kent dan Hospital Melaka.

Projek ini terletak dalam bidang ‘medicososial’ yang mengabungkan aspek-aspek perubatan dan khidmat sosial. Usaha kerajaan dalam meringankan bebanan waris pesakit dengan mengambil kira aspek kemudahan tempat tinggal dan kebajikan mereka wajar diteruskan melalui projek ini. Waris yang terlibat mampu menjimatkan wang sehingga RM12.2 juta setahun.

Selain daripada mengetengahkan projek ‘medicososial’, kerajaan juga perlu menggalakkan agar pelajar-pelajar Malaysia menceburi bidang Kerja Sosial Perubatan. Individu yang bekerja di bidang ini akan digelar Pegawai Kebajikan Perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertanggungjawab dalam meningkatkan aspek sosial perubatan dan skop penjagaan kesihatan rakyat.

Justeru itu melalui projek ini, pengurusan hospital dan pentadbiran negara akan dapat mengekalkan imej yang baik sebagai sebuah negara yang mementingkan kebajikan rakyat. Secara tidak langsung ianya mampu membentuk persepsi dan mengetengahkan profil Malaysia sehingga ke luar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here