Projek Reben Kuning telah diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Oktober tahun lalu bagi memberikan peluang kedua buat bekas banduan daripada kalangan belia dan mereka daripada sekolah pemulihan akhlak untuk diterima kembali ke pangkuan masyarakat.

Inisiatif ini mendapat kerjasama bersama Jabatan Penjara Malaysia dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan memberikan ruang bagi golongan tersebut mendapat peluang pekerjaan, pendidikan serta hidup tanpa diskriminasi atau pandangan serong masyarakat.

Projek Reben Kuning ini bukan sahaja memberi manfaat kepada bekas banduan dan remaja yang bermasalah, malah projek ini memberi manfaat kepada majikan yang menggaji golongan itu dengan diberikan pemotongan cukai tambahan kepada majikan.

Rata-rata netizen menyambut baik dan menyokong inisiatif yang diperkenalkan oleh KBS ini kerana menyedari bahawa inisiatif ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama oleh mereka.

Masyarakat menyambut baik program reben kuning

Namun, terdapat juga segelintir netizen yang kurang menyambut baik dengan cadangan ini kerana bimbang nasib para graduan terutamanya yang menganggur akan bersaing dengan golongan banduan ini.

KBS telah membuktikan bahawa inisiatif ini bukan sekadar perancangan di atas kertas sahaja apabila menjadikannya realiti dengan mengambil seorang lepasan pelajar sekolah Henry Gurney, Emam, bekerja di kementerian tersebut.

Emam merupakan lepasan Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun atas kesalahan juvana telah menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Henry Gurney dan berjaya memperoleh keputusan 8A dan 1B dalam SPM pada 2013 seterusnya melayakkan beliau untuk melanjutkan pelajaran di IPTA dalam bidang TESL. Ini membuktikan bahawa semua orang berhak mendapat peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan dan jika diberikan peluang, mereka juga mampu berjaya.

Emam lepasan SPM Sekolah Henry Gurney telah berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan

Oleh itu, Projek Reben Kuning ini merupakan satu inisiatif yang wajar diteruskan dan harus diberikan pujian. Pendekatan ini dapat membuka minda masyarakat dan menjadi inspirasi kepada golongan banduan serta remaja bermasalah bahawa peluang kedua masih terbuka. Bagi remaja yang bermasalah atau banduan yang telah berjaya menempatkan diri dalam pekerjaan pula, mereka boleh memberi inspirasi dan suntikan semangat bagi mengukuhkan jati diri golongan yang tersasar.

Justeru itu, sokongan setiap lapisan masyarakat penting bagi mengembalikan keyakinan diri pada golongan tersebut. Masyarakat perlu mengikis stigma negatif agar ia memberi satu jaminan kepada mereka bahawa kesaksamaan akan diberikan terhadap golongan ini setelah mereka kembali di luar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here