Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai pencapaian sudah diraih khususnya dalam beberapa industri utama dunia. Antara industri yang makin berkembang di negara ini adalah industri automotif yang telah menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara perindustrian yang disegani di mata dunia dengan mendapat tempat ketiga terbesar di Asia Tenggara dan 23 terbesar di dunia dengan pengeluaran lebih 500,000 kenderaan setahun.

Kerancakan industri automatif terbukti apabila Kereta PROTON mencatat pertumbuhan jualan memberangsangkan dan meningkat sebanyak 50.2 peratus dari Januari hingga April 2019, berbanding tempoh sama tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON), Dr Li Chunrong, berkata peningkatan itu meletakkan kereta PROTON di tempat kedua bagi jualan kereta seluruh negara. Beliau berkata PROTON X70 adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular dan menjadi pilihan apabila lebih 27,000 unit tempahan diterima dan 11,133 unit sudah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara. Manakala PROTON Iriz dan PROTON Persona terbaru yang dilancarkan pada 23 April lalu turut menyumbang kepada peningkatan apabila lebih 4,000 unit tempahan diterima dari tempoh aktiviti prapelancaran selama dua bulan yang dijalankan secara menyeluruh.

Proton mengakhiri suku pertama tahun 2019 dengan rekod kenaikan jualan yang baharu di mana syarikat berjaya mengekalkan kecemerlangan yang dicapai pada awal tahun ini

Perkembangan industri automotif Malaysia banyak dibantu oleh syarikat perintis tunggal Asia Tenggara iaitu Perusahaan Automobil Nasional (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua). Kedua-dua jenama Malaysia ini telah menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi setanding dengan pengeluar jenama terkemuka seperti Toyota, Nissan, Honda dan lain-lain lagi. Kerjasama di antara Proton dan syarikat pengeluar China, Geely telah berjaya menghasilkan Proton X70 yang mempunyai spesifikasi setanding dengan model SUV segmen C seperti Honda C-RV, Mazda CX-5 dan Volkswagon Tiguan. Selain itu, promosi Kosong-kosong PROTON yang memberikan pembiayaan sifar peratus untuk tahun pertama dan ansuran tiga bulan percuma kepada pelanggan, turut menyumbang kepada peningkatan jualan kereta Proton.

Perkembangan industri automatif negara ini boleh meningkatkan ekonomi dari segi skala operasi, rangkaian industri dan pembangunan keupayaan tempatan serta Bumiputera. Apabila syarikat automatif negara berjaya menghasilkan kenderaan yang berkualiti tinggi dan mempunyai teknologi terkini, ia akan mendapat permintaan dari negara luar terutamanya negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang mempunyai pasaran luas.

Jualan April 2019 Lonjak Proton ke Ranking Kedua Jenama Automatif Terlaris Malaysia

Selain itu, kerjasama dengan syarikat automatif asing ini membolehkan negara berkongsi teknologi bagi meningkatkan kualiti produk kenderaan yang dihasilkan. Setakat ini hanya Honda yang bergerak sendiri kerana kecekapan pengurusan dan pasaran kukuh di luar Jepun. Toyota sudah bekerjasama dengan Mazda untuk pembangunan teknologi kereta elektrik dan Nissan pula bergabung dengan Renault. Ini menunjukkan jika industri automatif negara tidak berkembang mustahil jenama seperti Proton dan Perodua mampu bekerjasama dengan syarikat asing untuk berkongsi teknologi demi kebaikan negara.

Oleh itu, kita dapat melihat masa depan industri automatif berada dalam landasan betul. Peningkatan pasaran luar untuk kemasukan kenderaan jenama Malaysia menunjukkan jenama Malaysia makin dikenali serantau dunia. Rakyat Malaysia seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk menyokong industri automatif Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita. Marilah kita berbangga terhadap industri automatif Malaysia yang bermutu tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here