Internet kini telah berkembang sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan ianya telah menjadi teknologi asas kepada manusia seluruh dunia. Tetapi penggunaan kemudahan internet perlulah digunakan secara berhemah dan bijak untuk memperoleh maklumat yang betul mengenai perkembangan semasa. Ini bagi mengelakkan sesetengah pihak menggunakan platform tersebut untuk mencetuskan perpecahan dan juga merosakkan keharmonian negara.

Jika dilihat dalam isu-isu semasa yang berlaku di negara ini, ramai pihak dilihat sengaja melanggar undang-undang negara dengan menggunakan internet untuk menghasut, menghina agama dan institusi diraja, perkauman serta penipuan atau scam melalui internet dan media sosial. Penyebaran berita palsu jika semakin meningkat dalam kebelakangan ini dan ianya merupakan perkara yang sangat membimbangkan.

Oleh kerana itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan penting untuk membanteras gejala tidak bermoral itu dalam kalangan masyarakat. SKMM telah mengambil langkah dengan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah mengikut kesalahan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kesalahan menggunakan internet boleh didakwa dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

SKMM akan menyekat laman sesawang yang didapati menyalahi undang-undang negara dan melaporkan segala penyalahgunaan internet serta media sosial kepada pihak berkuasa seperti pihak polis supaya tindakan boleh diambil. Ianya penting kerana kes-kes kesalahan penggunaan internet semakin menular dalam kalangan rakyat hingga mencetuskan kemarahan orang lain.

Malah, terdapat juga program-program yang pernah dilaksanakan kerajaan dan SKMM untuk mendidik budaya penggunaan internet secara berhemah seperti kempen ‘Klik Dengan Bijak’ (KDB) yang berteraskan keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab. Kempen tersebut penting untuk diteruskan kerajaan kerana ianya merupakan satu usaha bagi mendidik dan membudayakan orang ramai tentang penggunaan internet secara beretika.

Selain itu, SKMM telah bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk membangunkan modul pendidikan keselamatan pengguna internet yang disasarkan kepada golongan ibu bapa dan penjaga. Modul tersebut dapat memastikan ibu bapa dan penjaga dapat mendidik golongan muda dalam menggunakan internet dengan selamat serta memantau aktiviti anak-anak mereka dalam menggunakan media sosial.

Kenyataan menghina dan menghasut dalam media sosial boleh cetuskan ketegangan kaum di Malaysia

Justeru, pihak kerajaan dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan rakyat Malaysia dipupuk untuk menggunakan internet secara berhemah kerana ianya dapat memastikan kesalahan menggunakan internet dapat dielakkan. Ramai pihak mengambil kesempatan dengan kewujudan hak kebebasan bersuara untuk menghasut dan menghina perkara sensitif dengan menggunakan internet hingga mencetuskan kemarahan orang lain.

Perkara ini perlu dielakkan supaya negara ini tidak akan melahirkan generasi ‘keyboard warrior’ yang hanya pandai bersembunyi disebalik papan kekunci untuk melakukan kesalahan undang-undang Malaysia. Internet mampu membantu rakyat tetapi mampu juga untuk merosakkan sebuah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here