Jika kita menonton kartun Upin dan Ipin sudah pastinya kita seronok melihat keakraban Upin, Ipin, Jarjit Singh, Devi, Mei-Mei serta lain-lain. Tidak lupa juga semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh watak Uncle Muthu, Tok Dalang dan Uncle Ah Tong di dalam sebuah kampung yang sungguh harmoni apabila mereka sama-sama duduk minum sambil berbual-bual.

Namun, keadaan itu hanyalah senario yang pernah berlaku ketika zaman datuk nenek kita sahaja. Kini, jarang kita dapat melihat pelbagai kaum duduk satu meja menikmati hidangan makanan sambil berbual-bual.

Hal ini kerana, kita kini meniti fasa polarisasi kaum yang semakin hari semakin meruncing. Kita semakin sukar untuk bertegur sapa terutamanya yang berlainan bangsa atau kaum dan sedangkan jiran sebelah rumah pun sesetengahnya kita tidak kenali.

Mengapakah semakin hari semakin wujud jurang perbezaan yang ketara dalam perpaduan antara kaum di negara kita ini? Beberapa faktor yang mungkin menjadi asas permasalahan ini namun dapat dilihat polarisasi kian meruncing akibat daripada faktor politik.

Mana tidaknya, dapat kita lihat bahawa risiko-risiko perpecahan kaum semakin meningkat apabila menghampiri pilihan raya di mana parti-parti politik mempertahankan kepentingan mereka sendiri. Institusi politik yang mempunyai agenda tersendiri pula mengambil kesempatan berkempen sambil menggunakan medium pengucapan kebencian untuk mempengaruhi minda masyarakat bagi menarik lebih banyak undi berdasarkan kaum.

Pelbagai situasi yang berlaku saban hari menjadi bibit-bibit yang membuka jurang perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri telah dilenyapkan, seterusnya roh yang menyuntik semangat perpaduan kaum hilang dan tiada pegangan yang boleh diguna pakai sebagai agenda untuk menyatu padukan masyarakat.

Dasar 1Malaysia yang telah diilhamkan bekas perdana menteri telah dilenyapkan

Menambah keretakan dalam perpaduan kaum dalam negara apabila kerajaan ingin meraktifkasikan ICERD sehingga tercetusnya satu himpunan membangkitkan rasa ketidakselesaan di antara orang Melayu dan bukan Melayu di Malaysia.

Kemudian, timbul pula isu kuil yang melibatkan antara penganut agama Hindu dan anggota bomba yang rata-ratanya Melayu. Walaupun kes tersebut diklasifikasikan sebagai kemalangan, tetapi ramai pihak yang menangguk di air keruh, memburukkan lagi suasana harmoni di Malaysia. Isu ini dijadikan modal untuk memecahbelahkan dua kaum yang sudah lama tinggal bersama dengan harmoni selama ini.

Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan satu azam baharu sebagai keperluan rakyat Malaysia berpegang teguh kepada prinsip tersebut sebagai salah satu cara untuk mengurangkan konflik serta membina perpaduan kaum dalam sebuah negara pelbagai bangsa.

Tugas yang paling mendesak adalah untuk rakyat Malaysia yang perlu mengenepikan bangsa, jenis kaum dan budaya mahupun fahaman politik agar dapat bersatu padu menjaga keharmonian negara.

Selain itu, bagi mengelakkan masalah ini menjadi virus yang terus meracuni masyarakat, maka perlu ada kefahaman serta toleransi antara kaum yang boleh dicapai melalui pendidikan sejak di bangku sekolah.

kefahaman antara kaum dan ia boleh dicapai menerusi pendidikan sejak di bangku sekolah

Rakyat harus sedar bahawa perpaduan sangat penting bagi membentuk sebuah negara yang maju dan stabil. Malah, masyarakat harus memahami konsep Perlembagaan Negara bagi mengelakkan sebarang salah faham antara kaum. Persefahaman yang telah terjalin lama dalam kalangan masyarakat perlulah dibaja dan disuburkan agar terus kekal harmoni.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here