Tempat ibadat bukan medan untuk pemimpin-pemimpin parti politik menyampaikan ‘dakyah’ mereka. Mungkin kerana mudah untuk mengumpulkan penduduk-penduduk di satu komuniti di pusat ibadat yang menjadi faktor mengapa ahli politik gemar menyampaikan ‘dakyah’ mereka di situ.

Kain rentang program berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, pada 17 Mei lalu yang turut memaparkan logo Pakatan Harapan

Kebanyakan daripada parti politik ini akan berhubung dengan pengerusi dan jawatankuasa pusat ibadat. Mereka akan menggunakan alasan seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran tetapi pada masa yang sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing di dalam bangunan pusat ibadat.

Isu ini bukan lagi baharu di Malaysia. Sebelum menjelang PRU14, sudah ada ahli politik yang menjadikan masjid sebagai tempat mereka untuk berkempen. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sendiri memberi peringatan supaya jangan jadikan masjid sebagai gelanggang politik.

Pusat ibadat adalah tempat penyatuan ummah yang memupuk perpaduan di antara penduduk yang mempunyai latar belakang agama yang berbeza. Sepatutnya pusat-pusat ibadat ini dijadikan sebagai tempat untuk menyebarkan kebaikan, bukannya sebagai medan menyampaikan propaganda politik dan memburukkan pihak lawan.

Baru-baru ini tular di media sosial Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan untuk menggantung jawatan Pengerusi Jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik. Susulan daripada isu ini, pemimpin daripada enam parti politik diarahkan untuk menghadap baginda.

AHLI Parlimen Labis, Tuan Pang Hok Liong (DAP) sedang memberi ucapan berunsur politik di Masjid Tenang Station Labis, Johor

Isu yang sama juga berlaku di Johor Bahru. Seorang ahli politik DAP dipercayai memasuki masjid untuk tujuan politik. Perkara ini mengundang murka Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Walau bagaimanapun ahli politik itu mempertahankan dirinya dengan mendakwa beliau tidak membangkitkan sebarang isu politik semasa di masjid berkenaan, sebaliknya mahu menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau dalam kawasan berkenaan sempena Ramadhan.

Jika mahu menjadikan pusat ibadat sebagai ‘platform’ perpaduan kaum di Malaysia ianya wajar disokong, namun bukannya dengan memasukkan unsur-unsur politik seperti logo parti dan menyampaikan apa-apa bantuan atas nama parti politik.

Pusat ibadat yang dijadikan sebagai medan politik mampu menimbulkan isu yang negatif seperti pergaduhan dan perpecahan di antara individu yang berbeza fahaman politik. Maka, setiap ahli jawatankuasa pusat ibadat dan pemimpin-pemimpin parti politik wajar mempunyai sikap tanggungjawab. Jangan cemarkan kesucian pusat ibadat dengan aktiviti-aktiviti daripada parti politik.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here