Orang bijak pandai pernah berpesan, di dalam hidup jangan pernah sekali mencuba tiga perkara ini, iaitu, ‘perempuan, arak dan judi’.  Kerana apabila sudah terjebak, individu itu bukan sahaja sukar untuk mencari ‘jalan keluar’ bahkan virus negatif ini mampu memusnahkan masa hadapan dan keluarga individu yang terlibat.

Bukanlah perkara berkenaan dengan ‘arak atau perempuan’ yang mahu diulas melalui penulisan di dalam artikel ini, tetapi bahana judi kepada kehidupan seseorang. Walaupun impak negatif gejala perjudian sudah terlalu klise jika mahu diterangkan, tetapi masih ada lagi segelintir individu yang berminat untuk ke ‘lubuk hitam’ itu.

Kebanyakan individu yang terlibat dengan perjudian hanya mahukan ‘kekayaan segera’, walaupun mereka sedar bahawa jika kalah dalam perjudian, risiko kehilangan wang itu lebih banyak mudaratnya berbanding dengan keuntungan yang diperolehi. Tiada jalan mudah untuk berjaya dan memiliki harta. Judi bukan suatu pelaburan.

Malaysia memiliki pusat perjudian yang terbaik di Asia Tenggara. Lokasinya hanya 30 minit dari Kuala Lumpur dan terletak di Genting Highland. Tetapi hanya golongan atasan yang berkemampuan untuk ‘berjudi’ di kasino itu.

Kasino Genting Highland antara yang terbaik di Asia Tenggara

Gejala perjudian kini bukan sahaja tertumpu pada kasino-kasino yang semakin banyak, bahkan melalui penggunaan internet juga, individu yang berminat boleh bermain judi di dalam talian. Seperti mahu menggunakan tagline ‘semua orang boleh berjudi’.

Agak sedikit menghairankan apabila pelbagai operasi, tangkapan atau apa jua aktiviti untuk membanteras gejala perjudian ini telah dilakukan oleh pihak berkuasa, namun masih ada lagi segelintir ‘taiko-taiko’ yang berani untuk meneruskannya. Adakah ada  ‘tangan-tangan ghaib’ yang menjadi dalang untuk melindungi aktiviti perjudian ini?

Tiada siapa yang berani membuka mulut tentang isu perjudian ini kerana bimbang tentang tahap keselamatan diri serta keluarga. Namun tidak boleh dinafikan, ada dalang di sebalik pusat judi haram ini sehingga kumpulan ini mampu beroperasi.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sendiri mendedahkan bahawa ada anggota dan pegawai polis yang terlibat untuk melindungi pusat perjudian haram. Pada Mei 2017, terdapat dua penangkapan yang melibatkan ketua polis daerah (OCPD) yang disyaki bersekongkol dengan pusat judi haram dan rumah urut di Melaka. Walaupun hanya segelintir individu sahaja yang melakukan onar, tetapi kesannya terpalit kepada seluruh pasukan.

2 ketua polis daerah dan seorang inspektor ditahan akibat melindungi pusat perjudian haram

Pada tahun yang sama juga, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda ada menyatakan bahawa terdapat kes yang mana anggota penguat kuasa telah disekat atau diarahkan pulang daripada melakukan serbuan terhadap pusat judi haram. Pasti ada ‘abang besar’ yang melindungi pusat perjudian haram ini sehingga mereka berani menghalang tugas pihak berkuasa.

Angka pertumbuhan premis perjudian haram ini juga berada pada tahap yang membimbangkan apabila di Selangor sahaja ada peningkatan sehingga 60 peratus jumlahnya dalam tempoh dua tahun di kawasan perumahan Melayu. Di Sepang sahaja sebanyak 138 premis judi haram telah dilaporkan wujud di sana.

Pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu seperti merangka undang-undang supaya lebih komprehensif bagi memastikan aktiviti haram seperti ini tidak terus tumbuh. Aktiviti perjudian ini bukan sahaja merosakkan sosio budaya rakyat Malaysia, bahkan ia boleh mendatangkan impak yang negatif dalam pembentukan sahsiah diri golongan muda.

Jika mahu kaya, tidak perlu berjudi. Berjudi bukan pelaburan. Untuk berjaya dan kaya kita memerlukan air mata, keringat dan peluh sebagai pengorbanan. Bukannya dengan keseronokkan dan ketawa di pusat judi!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here