Pada suatu ketika, radio pernah menjadi salah satu medium komunikasi utama kepada masyarakat. Peranan radio bukanlah sekadar medium komunikasi dan hiburan semata-mata malah ia juga memainkan peranan penting dalam menyebar dan menyampaikan pendidikan serta maklumat. Namun, perkembangan teknologi yang semakin canggih telah menjejaskan keperluan radio sebagai penyampai maklumat utama di negara kita.

Walaupun dihimpit dengan pelbagai kecanggihan teknologi, fungsi radio sebagai medium meyebarkan maklumat masih menjadi keperluan. Sehingga kini, radio merupakan salah satu medium komunikasi yang masih popular di kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, di era digital ini radio dilihat masih relevan berperanan sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat.

Radio masih relevan sebagai penyampai maklumat

Sementara itu, transformasi radio audio digital telah menjadikan maklumat yang disampaikan melalui radio menjadi lebih mudah dan berkesan berbanding dahulu. Maklumat yang disampaikan di radio boleh dikategorikan sebagai tepat dan benar kerana tiada sebarang unsur manipulasi seperti di internet.

Di samping itu, kreativiti pihak penyiaran dan penyampai radio dalam menyampaikan maklumat kepada pendengar juga menjadi faktor utama untuk menarik lebih ramai pendengar. Maka, tidak hairanlah jika tahap kepercayaan orang ramai terhadap maklumat di radio masih kekal.

Walaupun sebahagian besar masyarakat sekarang lebih tertumpu kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat, radio masih lagi diperlukan untuk digunakan sebagai penyampai maklumat. Keupayaan mendapatkan siaran radio pada masa kini menjadi faktor keperluan tersebut kerana ia pasti menjadi pilihan individu yang lebih gemar mendengar radio daripada melayari internet.

Radio masih mempunyai daya penarik kepada pendengar

Pada kebiasaannya radio menjadi pilihan orang-orang lama yang tidak terdedah dengan perkembangan teknologi. Ini menunjukkan bahawa penggunaan radio sebagai penyampai maklumat juga adalah penting supaya sebarang info yang ingin disampaikan kepada masyarakat tercapai. Apa pun medium yang digunakan untuk menyampaikan maklumat tidak seharusnya dipinggirkan kerana setiap medium sudah pasti ada penggunanya yang tersendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here