Semenjak dua hari ni isu berkaitan Sultan, Agong dan institusi diraja kian hangat diperkatakan. Semua ini berlaku gara-gara isu berkaitan dengan Iswardy Morni yang dilabelkan sebagai biadap kerana menegur Agong secara sindiran ketika sesi siaran langsung di saluran media sosialnya. Isu ini bertambah parah apabila teguran itu dibalas dengan hadis dhaif oleh JAKIM dan kemudiannya diperlekehkan oleh kartunis berhaluan kiri, fahmi Reza hingga menimbulkan perdebatan golongan netizen di alam maya.

Persoalannya, mengapa isu sebegini perlu diperkotak-katikkan? Sudah jelas dan nyata di dalam perkara kedua Rukun Negara bahawasanya kita wajib taat dan setia kepada raja dan negara. Inilah yang terjadi akibat kebebasan bersuara terlalu diperluaskan. Bukan tidak boleh menegur para pemerintah, tetapi biarlah secara beradab dan tidak mencela. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermaikan itu lebih baik daripada mereka.” QS Al – Hujurat: 11)

Pernah ke selama ini kita mendengar ada di antara raja-raja Melayu ini mencela rakyat ketika berucap? Jika ada, sila buktikan. Kadang-kadang kita lihat mereka lebih menyantuni rakyat daripada rakyat menyantuni mereka. Ini terbukti dengan adab yang dizahirkan oleh Raja Permaisuri Agong apabila ada segelintir pengguna media sosial dengan biadapnya memperlekehkan Baginda. Itu belum termasuk dengan ‘ikon’ atau ‘memes’ yang sengaja dibuat untuk mengaibkan institusi diraja. Benar, raja itu manusia, tidak boleh disamakan dengan Allah SWT, tetapi wajarkah kita berlaku biadap? Sedangkan marhaen seperti kita pun Allah SWT murka kalau dicela-celakan, apatah lagi pemerintah seperti mereka.

Artikel ini bukanlah untuk ‘menjilat’ seperti yang warga netizen lemparkan tuduhan kepada JAKIM. Memang tidak dinafikan JAKIM telah melakukan kesilapan dan posting itu telah pun diturunkan. Apa yang nak ditekankan di sini adalah adab. Kalau orang lain biadap dengan kita, kita marah bukan? Tetapi mana adab kita dengan sang pemerintah? Jangan rasa diri kita sempurna, jangan rasa diri kita berkuasa. Seandainya kita merasa ada yang tidak kena dengan pemerintahan diraja, ada cara untuk menegurnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang ingin menasihati Sultan (atau pemimpin), maka janganlah dilakukan secara terang-terangan. Akan tetapi, pimpinlah tangannya, bawa dia ke tempat yang berasingan (dari orang lain dan nasihatilah dia). Sekiranya dia menerima nasihat tersebut, maka itulah yang terbaik. Namun sekiranya dia menolak nasihat tersebut, maka dia telah menunaikan hak untuk menasihat pemimpin tersebut.” (HR Ahmad: 15333)

Buatlah satu surat tertutup, ataupun gunakan medium lain secara sembunyi atau aturan temujanji agar kita boleh memberi pandangan atau teguran terhadap institusi diraja. Bukankah Istana Negara mempunyai portal rasmi dan di dalam portal tersebut mempunyai satu pautan aduan dan maklum balas? Zahirkan pandangan anda di situ.

Ambillah pengajaran dari kisah pemerintahan terakhir Khalifah Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II yang ditegur oleh Rasulullah SAW melalui mimpi rakyatnya hanya kerana terlupa untuk berselawat. Bagaimana resahnya perasaan seorang rakyat untuk hadir semata-mata bagi menegur kesalahan pemerintah kerana takut dijatuhi hukuman. Tetapi kerana ketaatannya lebih kepada Rasulullah SAW, maka dia datang bertemu dengan Sultan Abdul Hamid II secara sembunyi-sembunyi. Ingatlah, raja adalah payung kedaulatan negara dan ikon penyatuan rakyat, menegur biarlah beradab jangan sampai mencela dan berlaku biadap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here