Pembentangan bajet adalah intipati daripada kerajaan yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Seakan-akan debaran menunggu pengumuman raya, kebanyakkannya akan terus ‘terpacak’ di hadapan televisyen mengharapkan berita gembira bagi bajet untuk tahun seterusnya. Sudah pasti pengumuman bonus, kenaikan gred gaji dan penurunan harga barang antara berita yang paling ditunggu.

Melalui bajet 2020 rakyat sudah boleh memberikan sumbangan idea berkenaan belanjawan bermula 9 Ogos hingga 11 September 2019. Rakyat boleh menggunakan pelbagai saluran untuk berkongsi input dan cadangan seperti di laman web Twitter, Facebook, Instagram dan pautan di belanjawan2020.treasury.gov.my. Namun rakyat perlu menggunakan tanda pagar (hashtag) #belanjawan2020 bagi memudahkan carian.

Sumbangkan idea anda

Inisiatif ini memberi peluang kepada kerajaan untuk lebih menyelami keperluan rakyat. Pasti rakyat akan menyumbangkan idea yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada mereka, bahkan juga kepada negara.

Maka peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan bagi sumbangan idea untuk belanjawan 2020 ini wajar digunakan sebaik-baiknya. Inilah peluang kepada rakyat Malaysia untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan negara.

Seperti sudah boleh menjangka, pasti tuntutan kenaikan gaji, pemberian bonus hujung tahun, penurunan harga minyak, pemansuhan tol dan PTPTN antara idea-idea yang paling popular bakal disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Tiada salahnya, kerana apa-apa sahaja yang memberi keuntungan kepada rakyat sudah pasti akan diterima sebaiknya.

Tinjauan yang dilakukan di Twitter

Di laman web Twitter, tinjauan mendapati kebanyakan daripada netizen mahu kerajaan memperkenalkan elaun minyak dan penambahan jumlah bagi elaun sara hidup (COLA). Selain itu rata-rata penjawat awam meminta perlindungan takaful atau insurans bagi semua pekerja sektor kerajaan.

Pemilikan rumah mampu milik sudah menjadi satu keperluan terutamanya kepada penduduk di bandar-bandar besar. Kita sudah melihat usaha kerajaan ke arah itu, namun apa yang menjadi bebanan tambahan adalah kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank.

Kadar faedah yang paling sedikit dikenakan adalah pada kadar 4.55%. Maka melalui perkongsian sumbangan idea bajet 2020 ini, mungkin rakyat Malaysia boleh memohon agar kerajaan menetapkan kadar faedah yang lebih rendah kepada pemohon rumah mampu milik.

Memberikan sumbangan idea dalam belanjawan 2020 adalah satu ‘signal’ positif daripada kerajaan Malaysia. Suara rakyat Malaysia didengari dan diterima oleh kepimpinan negara. Inilah masanya rakyat memberikan sokongan kepada kerajaan dengan menyumbangkan idea mengenai pembentangan bajet.

Pembentangan bajet menentukan peningkatan kadar ekonomi negara sekaligus memberikan impak kepada ekonomi individu setiap rakyat Malaysia. Inilah masanya kerajaan memperkukuhkan kembali perkara asas subsektor ekonomi yang perlu diberi tumpuan.

Suara rakyat semakin ‘laku’ melalui idea pembentangan bajet. Pastikan setiap idea tidak mengenepikan kumpulan sasaran terutamanya golongan B40. Apa yang rakyat mahu dalam bajet 2020? Sumbangkan idea anda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here