Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat unik. Bermula daripada permulaan tahun baru sehinggalah ke penghujung tahun, rakyatnya akan meraikan pelbagai perayaan bermula dengan sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali dan Hari Natal yang akan diraikan pada setiap 25 Disember. Walaupun setiap perayaan itu akan disambut oleh bangsa-bangsa yang berlainan tetapi tetap diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Menarik bukan? Itulahnya uniknya Malaysia.

Keterujaan rakyat Malaysia menghitung hari bagi menyambut Krismas atau Hari Natal bukan sahaja untuk meraikan perayaan itu, malah memanfaatkan cuti umum yang diperolehi untuk meluangkan masa bersama keluarga dan anak-anak. Kunjungan ke pusat membeli belah juga pasti akan menggamitkan rasa kagum dengan hiasan atau pameran ‘pokok Krismas’ ‘kotak hadiah’ dan ‘kereta kuda Santa Claus’ di lobi utama bangunan. Kebanyakan butik-butik perniagaan juga akan menghiaskan ruang niaga mereka dengan warna yang paling biasa dikaitkan dengan sambutan perayaan ini iaitu hijau, merah, emas, perak dan putih.

Sambutan Hari Natal di salah satu pusat membeli belah terkemuka Malaysia

Penganut Kristian di Malaysia meraikan Hari Natal dengan cara makan bersama keluarga dan rakan-rakan pada malam perayaan, diikuti dengan pemberian hadiah, muzik, nyanyian, acara gereja serta doa. Makanan dan perayaan merupakan dua perkara yang kerap bersatu ibarat ‘isi dan kuku’. Antara sajian utama yang dinikmati ketika perayaan Hari Natal ialah ayam belanda panggang, pai shepard, pudding plum, kek buah dan biskut Krismas dengan bentuk, warna dan perisa yang berbeza. Biskut Krismas yang paling popular ialah gingerbread man.

Suasana Sambutan Hari Natal di Malaysia

Keharmonian, keamanan dan perpaduan kaum di Malaysia diharapkan akan terus menjadi contoh kepada dunia luar sempena perayaan Hari Natal yang bakal menjelang pada Selasa ini, 25 Disember 2018. Budaya rumah terbuka, saling berkunjung dan bertukar hadiah perlu diteruskan bagi mengukuhkan silaturahim masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Masyarakat harus melupakan seketika sebarang isu kontroversi tentang perkauman yang dipolemikkan di media sosial. Keamanan dan perpaduan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini tidak seharusnya ‘dirosakkan’ dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Serahkan pada pihak berkuasa dan kerajaan untuk menjalankan amanah mereka dalam menjaga keamanan negara. Tugas kita sebagai rakyat Malaysia ialah jangan sekali-kali membangkitkan sebarang provokasi, kerana kita harus bersama-sama membantu pihak berkuasa dalam menjaga keharmonian kaum di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here