Reputasi akhbar, majalah, radio dan televisyen yang dikategorikan sebagai media tradisional semakin baik berbanding media digital. Trend ini lebih baik berbanding penerimaan rakyat terhadap media lima tahun lepas.

Satu perubahan yang semakin baik apabila kita mula merasakan media tradisional kian terpinggir kerana telah dikuasai oleh media digital, namun di Malaysia situasi yang berlainan berlaku. Sukar untuk dinafikan bahawa media tradisional terutama televisyen dan radio intipatinya lebih telus dan mudah dipercayai berbanding media digital yang mudah diedit.

Rakyat juga mungkin sudah mula merasakan media sekarang lebih telus berbanding lima tahun dahulu. Jika dahulu, kebanyakan media seperti Utusan, News Straits Times, Berita Harian, The Star dan TV3 dikuasai oleh parti kerajaan.

Media tradisional mula mendapat perhatian rakyat

Kebanyakan intipati berita media-media ini berpihak pada kerajaan terdahulu sehingga membuatkan rakyat semakin jemu. Mereka merasakan tiada ketelusan di dalam penyampaian maklumat.

Ada banyak faktor yang menyebabkan rakyat mula menunjukkan minat terhadap media.    Isu-isu politik negara semakin menarik untuk diketahui. Perbalahan perebutan kuasa di antara parti kerajaan dan pembangkang mencetuskan minat kepada rakyat untuk terus mendengar siaran berita di radio.

Begitu juga dengan skandal-skandal politik yang melibatkan parti kerajaan seperti isu video Datuk Seri Azmin Ali dan Haziq Aziz yang membuatkan rakyat terus terpaku di hadapan televisyen menerusi segmen berita.

Skandal politik membabitkan Azmin Ali & Haziq Aziz

Berbanding kerajaan dahulu, rakyat sudah bosan dengan intipati mengenai isu 1MDB dan   dasar-dasar kerajaan yang dirasakan oleh rakyat menindas mereka. Oleh itu, media tradisional terutamanya televisyen dan radio yang kebanyakan dimonopoli oleh parti kerajaan bukanlah pilihan utama mereka.

Selepas peralihan kuasa berlaku pada PRU-14, pengamal  media sudah mula mencelikkan mata bahawa media di Malaysia tidak wajar dimonopoli oleh mana-mana parti.

Tindakan kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi menyokong kebebasan media memberikan impak yang positif, apabila kebanyakan daripada pengamal media sudah mula berani mengkritik pihak kerajaan dan pembangkang sekaligus menyampaikan berita yang telus tanpa unsur berat sebelah kepada satu pihak sahaja.

Malahan, akhbar Berita Harian yang dahulunya dikenali sebagai akhbar ‘pro kerajaan’ Barisan Nasional sudah mengambil langkah selamat dengan tidak memihak kepada mana-mana parti. Tetapi ada ketika di ruangan Kolumnis akhbar itu masih ada penulisan yang memihak kepada parti kerajaan Pakatan Harapan.

Media Malaysia adalah ‘wakil’ suara rakyat yang perlu didengari oleh pihak-pihak tertinggi negara. Inilah medium kita sebagai rakyat Malaysia. Kalau media juga ‘songsang’ di mana rakyat mahu mengadu?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here