Dunia internet kini semakin berkembang kerana potensinya yang telah memudahkan manusia untuk berhubung, membeli-belah, urusan perniagaan, melakukan segala transaksi melibatkan kewangan dan lain-lain. Tetapi disebalik kemudahan ini, ada sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah siber dan ancaman yang sering terjadi kini adalah ancaman phishing.

Phishing adalah cara penipuan untuk mendapatkan maklumat peribadi dalam akaun mangsa dan mereka akan mengarahkan mangsa ke laman web yang kelihatan seolah-olah seperti sebuah laman perbankan internet yang sah tetapi ianya adalah palsu. Malah, modus operandi mereka kini juga berubah seperti memberi maklumat palsu untuk mendapatkan akses ke akaun mangsa dan dihantar seolah-olah daripada pihak bank atau pihak berkuasa.

Phishing boleh menyebabkan data peribadi anda dicuri pihak luar

Cara untuk penjenayah siber menjalankan aktiviti mereka adalah dengan menghantar e-mail meragukan dan juga menelefon mangsa kononnya akaun bank mereka digodam dan akan kehilangan wang. Kemudian, mereka akan meminta maklumat peribadi akaun mangsa supaya memudahkan akaun mangsa diselamatkan. Jika mereka tidak memberi maklumat itu, akaun mereka akan ditutup atau wang di dalam bank akan hilang dan ini yang membuatkan mangsa menjadi panik lalu memberi maklumat peribadi mereka.

Apabila mangsa memberi maklumat peribadi mereka kepada pihak tidak bertanggungjawab, mereka diibaratkan sudah menjual segala maklumat peribadi dan akaun kepada penjenayah serta memudahkan mereka untuk mengeluarkan wang akaun bank mangsa. Inilah rompakan siber yang menjadi ancaman utama kepada pihak perbankan dan pihak berkuasa kerana dilakukan secara tersembunyi.

Di samping itu, jika penjenayah mempunyai akses e-mail mangsa, mereka sudah boleh menggunakan maklumat tersebut untuk mengakses segala akaun menggunakan e-mail tersebut termasuklah media sosial. Jadi penjenayah boleh menggunakan maklumat mangsa tersebut untuk memerangkap orang lain pula dan bila membuat laporan, identiti asal penjenayah tidak boleh dicam kerana berselindung disebalik akaun orang lain.

Oleh kerana itu, orang ramai perlu berjaga-jaga untuk mengelakkan dari menjadi mangsa ancaman phishing ini. Orang ramai perlu elakkan daripada memberi maklumat peribadi kepada permintaan sama ada melalui e-mel atau telefon dan jangan mendedahkan maklumat peribadi jika tidak mengenali siapa pemanggil atau penghantar e-mel tersebut. Jangan memberikan apa-apa maklumat jika tidak memulakan komunikasi tersebut.

BNM turut memantau kegiatan phishing ini kerana melibatkan keselamatan perbankan

Jika tidak yakin bahawa pemanggil atau penghantar tersebut sah atau tidak, orang ramai boleh menghubungi sendiri dengan pegawai rasmi institusi kewangan bagi mengenalpasti identiti mereka. Paling penting adalah sebarang transaksi atau komunikasi berkenaan perbankan atau sebagainya perlulah menggunakan saluran yang sah dan bukan dari e-mel atau panggilan telefon.

Justeru, ancaman phishing sangat bahaya kepada orang ramai kerana boleh merompak mangsa secara tersembunyi. Rompakan tersebut bukan sahaja melibatkan wang tetapi maklumat diri yang lebih penting. Pihak keselamatan seperti PDRM dan Bank Negara Malaysia (BNM) sering bersiap siaga untuk memantau sebarang aktiviti phishing ini bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa. Maka, orang ramai haruslah berwaspada apabila berurusan menggunakan internet kerana pelbagai ancaman yang ada dalam dunia internet.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here