Suara rakyat, suara keramat. Itu antara bait kata ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu ketika berkempen untuk Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14). Namun, kata-kata itu seakan menjadi satu ‘sumpahan’ buat mereka pada hari ini apabila Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai (P.165) pada 16 November lalu sekali lagi berpihak kepada parti pembangkang, Barisan Nasional (BN).

Calonnya, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng memenangi undian sebanyak 25,466 undi mengatasi calon parti kerajaan, Haji Karmaine Sardini dengan jurang undian sebanyak 15,086. Ia merupakan satu majoriti yang agak besar jika dibandingkan semasa PRU14 yang hanya dibezakan dengan 524 undi sahaja. Kemenangan keempat parti pembangkang selepas PRU14 ini seolah-olah menunjukkan ‘isyarat’ bahaya terhadap kedudukan kerajaan PH pada hari ini. Manakan tidak, rakyat Malaysia sudah mula muak akan perilaku setiap pemimpin tertinggi parti komponen kerajaan yang dilihat seakan gila kuasa dan tidak mempedulikan untung nasib rakyat di bawah pemerintahan mereka.

Kekalahan PH kepada BN merupakan ‘signal’ bahaya kepada kerajaan

Di samping itu, kegagalan dalam menunaikan manifesto, pergolakan dalaman antara parti komponen serta janji-janji manis yang ‘ditabur’ hanya sekadar untuk memancing undi dikatakan penyebab kepada kekalahan PH Sabtu lalu. Ini sekaligus memberikan impak kepada kedudukan kerajaan apabila dilihat semakin goyah akibat hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan mereka dalam mentadbir negara dek kerana kesilapan mereka sendiri dalam cara urus tadbir yang carca marba serta kekerapan para Menteri PH dalam mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai “sembang lebih” atau “yakin teruk”.

Selain itu, impak daripada keputusan pilihanraya ini boleh dilihat kepada pihak pembangkang apabila mereka mula meraih kepercayaan sedikit demi sedikit daripada rakyat. Hal ini kerana fenomena penyatuan ummah yang dijalankan oleh mereka dilihat lebih relevan terhadap kedudukan semasa rakyat Malaysia pada hari ini. Oleh itu, mereka tidak membuang masa dalam menggerakkan langkah bagi meraih semula kepercayaan rakyat yang suatu ketika dulu pernah disia-siakan dengan memainkan pelbagai sentimen secara bijak bagi membuka mata rakyat terhadap kondisi Malaysia pada ketika ini akibat ‘tangan’ pemerintah PH.

Dalam hal ini, kerajaan khususnya para Menteri perlulah bersikap lebih realistik dalam melakukan sesuatu hal. Selepas keputusan ini, pihak kerajaan perlu membuat ‘post-mortem’ dalam mencari kelemahan di setiap sudut yang menjadi punca kekalahan keempat PH di tangan pembangkang. Jangan sekadar tahu meletakkan kesalahan di atas bahu calon dan juga pihak lain akibat kekalahan tersebut. Seharusnya, pucuk pimpinan PH perlu mengambil inisiatif dalam mencari solusi kepada kegagalan PRK kali ini.

Kemenangan BN pada PRK Tanjung Piai menunjukkan rakyat semakin bijak dalam memilih

Justeru, pihak kerajaan khususnya para Menteri disarankan untuk melaksanakan tanggungjawab dan janji yang diberikan kepada rakyat bagi mengekalkan kedudukan mereka di dalam Kerajaan Malaysia. Janganlah menjanjikan sesuatu yang diluar dugaan manusia tetapi ia hanyalah sekadar omongan kosong untuk memancing undi. Lihat sendiri apa yang terjadi, akibat sifat sombong dan bongkak dalam mengeluarkan kenyataan, akhirnya kedudukan mula goyah. Bak kata orang “sebab pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here