Jika disorot kembali, hampir tidak ada satu pun prestasi kejayaan yang ditonjolkan oleh PH sepanjang hampir dua tahun memerintah dan itu bercanggah dengan kenyataan mereka yang mengatakan PH sudah menyelesaikan separuh daripada janji manisfesto mereka. Hakikatnya, rakyat yang menilai dan jika mereka berjaya ‘memandu’ negara ini di atas landasan yang betul, mengapa rakyat kini beralih arah kepada pembangkang?

Kekalahan lima kali PH di tangan BN merupakan isyarat merbahaya dari rakyat kepada kerajaan

Sudah lima Pilihanraya Kecil (PRK) PH tumpas di tangan pembangkang dengan salah satunya dipisahkan oleh majoriti yang agak besar iaitu 15,086 iaitu di Tanjung Piai dan diikuti 4,510 di Rantau. Ini merupakan satu ‘isyarat’ besar rakyat kepada kerajaan di mana mereka sudah muak dengan omongan kosong yang tiada tindakan dan hanya sekadar “menanam tebu di pinggir bibir” saja.

Dalam hal ini, kerajaan seharusnya bertindak lebih realistik dan bukan sekadar menabur janji bak filem fantasi. Ini semestinya mengundang amarah rakyat apatah lagi setelah 100 peratus sokongan yang diberikan mereka semasa Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) dengan harapan kerajaan yang baru dapat mengubah nasib mereka dan melepaskan mereka dari cengkaman kuku besi kerajaan terdahulu. Oleh itu, kerajaan di bawah PH disarankan untuk melakukan berberapa perkara untuk meraih kembali kepercayaan rakyat sama seperti yang diterima sebelum ini.

Antara langkah yang harus diutamakan kerajaan adalah mengkaji semula janji manifesto PH yang diwar-warkan sebelum PRU14. Hal ini kerana rakyat bergantung sepenuhnya terhadap janji kerajaan dalam usaha untuk membina semula negara yang bebas dari kleptokrasi. Utamakan keperluan rakyat seperti harga petrol, kos sara hidup dan isu pembiayaan pendidikan seperti yang termaktub dalam manifesto 10 janji 100 hari.

Kerajaan disarankan untuk mengkaji kembali manifesto Pakatan Harapan dengan mengambil kira keutamaan rakyat

Selain itu, para pemimpin dalam kerajaan juga harus bertindak secara profesional dalam menyelesaikan masalah rakyat yang tidak berkesudahan. Hentikan perbuatan meluahkan perasaan yang terlalu menonjol ke dalam laman sosial dan mulakan kembali skop tugasan yang telah diserapkan seperti dalam portfolio. Perbuatan seperti itu boleh diibaratkan seperti mencari populariti jika dibandingkan dengan tugasan yang dilakukan tidak semeriah seperti yang dicanangkan.

Justeru, kerajaan disarankan agar kembali ke ‘landasan yang sebenar’ dalam memimpin Malaysia dengan memfokuskan kepada isu rakyat. Hal ini kerana jika mereka mengabaikan keperluan rakyat setelah kepercayaan diberikan sepenuhnya, ia akan memberikan impak yang besar kepada kerajaan PH seperti pemerintahan sepenggal yang sering diwar-warkan di dalam media sosial.

Jika setahun lalu, rakyat ‘memanjakan’ kerajaan, tetapi tidak untuk kali ini. Jadi, rebut semula peluang ini untuk ‘beli jiwa’ rakyat kerana mereka sudah mula bosan dengan 1001 alasan daripada kerajaan yang tidak berkesudahan. Apa lagi sekarang pembangkang sudah memulakan gerak perang saraf mereka dalam ‘meracuni’ rakyat untuk meraih sokongan kembali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here