Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk melaksanakan penstrukturan semula perjawatan awam bagi mengawal saiz perkhidmatan dalam sektor kerajaan. Isu ini telah mula dibangkitkan sejak dahulu lagi di mana terdapat desakan dari sesetengah pemimpin politik yang mahu kakitangan kerajaan dikurangkan kerana kos emolumen penjawat awam makin meningkat setiap tahun.

Mengikut daripada Belanjawan 2019, kerajaan telah memperuntukkan RM259.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan sebanyak 31.6 peratus atau RM82.1 bilion digunakan untuk emolumen penjawat awam. Jumlah tersebut meningkat berbanding pada tahun 2018 sebanyak RM79.15 bilion. Kos tersebut diperuntukkan bagi menampung sejumlah 1.6 juta penjawat awam yang berkhidmat dalam kerajaan.

Oleh kerana itu, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan langkah penstrukturan semula perjawatan awam dan tindakan tersebut adalah sejajar dengan dasar baharu kerajaan untuk mengecilkan perkhidmatan awam bagi mengelakkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan. Perkara ini telah diumumkan menerusi surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 26 Disember 2018.

Dr. Ismail Bakar menegaskan komitmen untuk mengurangkan penjawat awam sebanyak 1 peratus

Ketua Setiausaha Negara, Dr Ismail Bakar telah mengadakan mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan pada 27 November 2018, menegaskan komitmen untuk melaksanakan pengurangan penjawat awam sebanyak 1 peratus. Jumlah tersebut bersamaan 16,000 penjawat awam di Kementerian dan agensi kerajaan yang dijangka ditamatkan perkhidmatan bermula tahun 2019.

Walau bagaimanapun, mengikut daripada siaran media oleh JPA pelaksanaan rasionalisasi ini hanya melibatkan perjawatan yang tidak diisi dan tidak digunakan dalam tempoh melebihi 2 tahun. Kaedah pengurangan jawatan ini juga tidak melibatkan penjawat awam sedia ada tetapi melalui pelbagai kaedah lain. Antaranya adalah mengoptimumkan sumber manusia, penyusunan semula perjawatan bagi mengelakkan pertindihan fungsi, serah urus fungsi, penyampaian perkhidmatan alternatif, gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan semasa.

Keputusan kerajaan tersebut untuk melaksanakan pengurangan perjawatan awam perlu dilihat secara holistik dengan mengambil kira kesan kepada penjawat awam tersebut. Walaupun jumlah 1 peratus adalah kecil, tetapi 16,000 penjawat awam dijangka akan menganggur dan boleh memberi kesan kepada hidup mereka yang sudah mempunyai komitmen seperti keluarga dan pinjaman bank.

Sebanyak 16,000 penjawat awam bakal ditamatkan perkhidmatan bermula tahun 2019

Selain itu, pengurangan penjawat awam boleh menyebabkan bebanan kerja penjawat awam sedia ada bertambah. Apabila ia terjadi, boleh berlaku peningkatan tahap tekanan di kalangan penjawat awam ini akibat daripada kekosongan perjawatan yang tidak diganti. Malah, Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula tidak dimaklumkan tentang perkara ini terlebih dahulu dan mereka mengharapkan penjawat awam yang ada tidak terbeban dengan tugas bertambah disebabkan tiada pertambahan kakitangan.

Justeru, kerajaan perlu membela nasib pekerja yang ditamatkan perkhidmatan dan yang sedia ada bagi menjaga kebajikan mereka. Ini kerana mereka telah memberi perkhidmatan terbaik untuk kerajaan walaupun langkah ini dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang kian meningkat. Apa yang penting adalah kualiti dan kuantiti penjawat awam diseimbangkan supaya mereka dapat menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan juga kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here