Berita penangkapan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah telah mencetuskan kerisauan banyak pihak memandangkan mereka adalah golongan penjawat awam. Sehubungan itu, netizen juga tidak melepaskan peluang membincangkan isu ini. Terdapat segelintir daripada mereka juga mempersoalkan kewibawaan penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

Berdasarkan laporan pertubuhan Transparency International (TI), kedudukan terbaru Malaysia ialah di tempat ke 61 daripada 180 buah negara. Walau bagaimanapun, kedudukan ini bukanlah kayu pengukur sebenar dalam meramalkan permasalahan gejala rasuah di Malaysia. Tidak boleh dinafikan bahawa rasuah boleh berlaku setiap hari dalam sama ada di sektor swasta atau sektor awam.

Gejala rasuah di kalangan penjawat awam dilihat semakin membimbangkan dan sehingga kini masih berlaku walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan khususnya SPRM. Siapa sahaja yang tidak inginkan kehidupan mewah. Ia dilihat sebagai punca utama yang menyebabkan berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam sehingga mendorong mereka terlibat dalam gejala ini. Namun, adalah tidak mustahil sekiranya mereka terlibat dengan rasuah berpunca daripada kesempitan hidup kerana tidak mampu menampung kehidupan seharian.

Gejala rasuah perlu di banteras habis-habisan

Selain itu, mempunyai peluang untuk terlibat dengan rasuah juga antara punca mengapa gejala rasuah di kalangan penjawat awam terus meningkat. Kewujudan individu yang ingin memberikan rasuah telah membuka ruang kepada orang yang menerima rasuah walaupun pada awalnya individu terbabit tidak mempunyai perancangan melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk mengatakan hanya satu pihak yang bersalah dalam permasalahan ini.

Polis, JPJ, Kastam dan Imigresen adalah antara golongan penjawat awam yang sering berhadapan dengan masyarakat ketika menjalankan tugas. Oleh itu, adalah penting untuk mereka memastikan supaya tidak terjebak dengan rasuah supaya nama baik penjawat awam di seluruh negara tidak tercemar. Kepercayaan masyarakat kepada penjawat awam adalah penting supaya mereka sentiasa yakin bahawa penjawat awam mempunyai integriti yang tinggi dan tulus dalam melaksanakan tugas.

Sehubungan itu, penjawat awam perlu sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya apabila berhadapan dengan individu yang cenderung memberikan rasuah. Ketegasan semasa menjalankan tugas perlu diterapkan supaya tiada mana-mana pihak dan individu memandang rendah dan beranggapan negatif kepada penjawat awam.

Penjawat awam perlu menjaga integriti dalam melaksanakan tugas

Selain daripada menjaga nama baik penjawat awam secara keseluruhannya, gejala rasuah ini juga perlu dijauhi kerana ia boleh menjejaskan kerjaya seseorang individu itu. Sekiranya perkara ini berlaku, sudah pasti sumber pendapatan individu akan terjejas sekaligus menyebabkan orang sekeliling akan memandang serong kepada penjawat awam. Sikap netizen yang sering menyalahkan semua pihak bagi satu-satu kesalahan sudah pasti akan menyebabkan kepercayaan rakyat juga akan terjejas.

Oleh itu, melihat kepada gejala rasuah di kalangan penjawat awam, adalah wajar sekiranya pihak SPRM merancakkan lagi usaha dalam membendung gejala rasuah di kalangan masyarakat kita. Selain itu, kempen yang dijalankan sebelum ini diharap dapat mendidik masyarakat kita untuk terus menolak amalan rasuah sekaligus membantu SPRM membanteras perbuatan tidak bermoral ini.

Secara keseluruhannya, usaha membanteras rasuah tidak seharusnya dipikul oleh pihak SPRM sahaja. Kerjasama semua pihak adalah sangat kritikal dalam memastikan gejala rasuah tidak menjadi budaya di kalangan masyarakat kita. Melihat kepada trend ini, tidak mustahil jumlah salah laku ini akan terus meningkat sekiranya tiada langkah pencegahan menyeluruh dan berkesan dibuat. Apa yang lebih membimbangkan adalah gejala rasuah ini mampu melibatkan semua peringkat penjawat awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here