Mempunyai pemimpin yang keras adalah satu perkara yang amat malang berlaku terhadap sesebuah organisasi atau negara. Apa yang dimaksudkan dengan pemimpin yang keras? Pemimpin yang keras adalah pemimpin yang zalim terhadap rakyat dan bawahannya. Sesungguhnya, menjadi pemimpin yang keras adalah satu sifat yang sangat dibenci oleh Rasulullah SAW. Ini digambarkan dalam sebuah hadis:

Daripada ‘Aiz bin Amru RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya seburuk-buruk pengembala (pemimpin) ialah orang yang bersikap keras kepada gembalanya (terhadap anak pimpinannya), maka janganlah engkau termasuk dalam golongan penggembala (pemimpin) yang seperti itu…” (HR Muslim: 1830)

Hadis di atas merupakan teguran Rasulullah SAW kepada ‘A’iz bin Amru agar tidak menjadi pemimpin seperti itu yang bersikap keras terhadap anak pimpinannya kerana beranggapan orang yang dibawah ini mempunyai kedudukan yang lebih rendah dari dirinya (si pemimpin). Ternyata Rasulullah SAW amat membenci sifat sebegitu kerana ia seolah-olah perbuatan menghina sesama manusia. Bagi Sheikh Ali al-Qari pula, beliau memberikan gambaran yang lebih luas lagi iaitu menurutnya hadis ini membayangkan sikap pemimpin yang zalim. Ia tidak tertakluk kepada pemimpin dengan anak pimpinannya sahaja tetapi termasuk seluruh rakyat yang berada dibawah pemerintahan seorang pemimpin itu. Katanya:

“(Iaitu yang dimaksudkan dengan sejahat-jahat pemimpin ini ialah) mereka yang menzalimi rakyatnya dan tidak bersifat kasih terhadap mereka yang ditimpa kesusahan.” (Mirqa al-Mafatih)

Seharusnya dalam hal ini, menjadi seorang pemimpin itu haruslah mempunyai sifat lemah lembut tetapi tegas. Lemah lembut dalam melayani setiap anak pimpinannya dengan penuh akhlak sopan santun dan teratur. Ketegasan pula terletak pada sikap adil dan tidak pilih bulu dalam membuat keputusan. Semua anak pimpinannya dilayan sama rata dan kalau ada kesalahan harus disiasat dan dihukum dengan seadilnya.

Begitulah sikap seorang pemimpin, dengan siapa sekalipun dia berurusan, pemimpin sepatutnya tidak bersikap keras, tidak memandang rendah pada pekerja bawah bahkan bersikap kasih dan memahami keadaan mereka. Dengan cara itu, barulah seorang pemimpin dihormati dan disayangi bukan sahaja dari kalangan bawahannya, tetapi juga rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here