Perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang pantas mengambil alih dunia sehinggakan sukan juga telah beralih arah kepada E-Sukan. Sukan elektronik atau E-Sport merupakan sukan yang menggunakan elektronik-elektronik yang terdapat dalam kehidupan seharian. E-sukan merupakan sebuah industri baharu bukan sahaja hanya tertumpu kepada pembangunan permainan video tetapi ianya merupakan industri dan sumber ekonomi baru kepada individu yang meminati permainan video secara positif.

Generasi muda ketika ini yang terlibat dalam e-sukan adalah kerana mempunyai minat di dalam bidang komputer, pembangunan perisian serta jurutera teknologi maklumat. Bidang e-sukan ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pemain malahan ia boleh menghasilkan bakat dalam ekosistem game tersebut di mana akan melahirkan generasi yang celik IT dan mahir dalam pengkomputeran.

E-sukan mampu mengubah corak pemikiran rakyat dalam memahami bahawa sukan bukan sahaja bersifat konvensional seperti olahraga, bola sepak dan sebagainya. Pengenalan e-sukan ini mampu membawa revolusi sukan Malaysia ke arah era baharu. Oleh itu, melihat perkembangan e-sukan, Kementerian Belia dan Sukan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan di Asia dengan memperuntukkan RM10 juta khusus untuk aktiviti e-sukan.

Muhammad Thaqif kanak-kanak berusia 12 tahun yang berjaya mencipta permainan e-sukan sendiri

Hal ini kerana, Malaysia tidak ingin ketinggalan dalam perkembangan industri e-sukan yang dilihat mempunyai potensi besar di peringkat global terutamanya apabila e-sukan telah mendapat pengiktirafan daripada Majlis Olimpik Asia dan akan dipertandingkan buat pertama kali dalam Sukan Asia pada tahun 2020.

Kewujudan e-sukan ini dilihat tidak akan mengenepikan sukan tradisional yang lebih kukuh dan telah lama mendapat tempat dalam hati rakyat di negara ini, malah ia akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia membuktikan kebolehan mereka menerusi permainan video secara kompetitif di peringkat antarabangsa.

Mungkin masih lagi wujud golongan yang tidak menerima peralihan sukan kepada e-sukan dan mempunyai persepsi bahawa kewujudan e-sukan ini akan meminggirkan sukan konvensional seperti olahraga, bola sepak, sepak takraw dan sebagainya. Namun, dengan kewujudan e-sukan ini, secara tidak langsung mampu menarik golongan yang kurang aktif di bidang olahraga serta dapat menarik minat remaja yang sering menghabiskan waktu dengan permainan video. Dengan adanya e-sukan ini, ia bakal menambahkan lagi aktiviti sukan yang terdapat di Malaysia ini.

Selain itu juga, pembangunan e-sukan ini berpotensi mewujudkan pekerjaan yang berkualiti untuk belia. Pekerjaan-pekerjaan seperti pemaju dan jurutera perisian, pereka grafik dan ilustrator, serta jawatan dalam bidang pemasaran dan pengiklanan dapat membuka peluang kepada anak muda dan belia terutama dalam bidang komputer.

Yap Jian Wei, atlet professional e-sukan telah menjadi jutawan

Justeru itu, e-sukan merupakan salah satu cabang yang boleh membantu anak muda agar dapat bergerak lebih maju ke hadapan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0. Boleh dilihat ketika ini, komuniti anak muda yang terlibat dalam permainan video sangat besar. Namun, mereka kurang diberi peluang untuk menonjolkan bakat kerana kejohanan berprestij jarang dianjurkan di Malaysia.

Seharusnya rakyat Malaysia perlu membuka mata dan tidak perlu ragu-ragu dengan e-sukan yang objektifnya mampu memberi faedah kepada pelbagai pihak. Kejohanan e-sukan ini perlu dianjurkan secara meluas tidak kira di peringkat sekolah mahupun di peringkat negeri agar dapat membuka mata pelbagai pihak bahawasanya negara kita memiliki pelbagai bakat yang perlu digilap dan dihargai serta kejohanan ini akan memberikan banyak peluang kepada anak muda khususnya untuk menjadi lebih berdaya saing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here