Media cetak merupakan bahan informasi yang penting sejak dahulu lagi kerana ia mempunyai kuasa dan pengaruh kepada masyarakat. Media cetak merangkumi semua jenis bahan bercetak seperti akhbar, jurnal, buku, majalah dan sebagainya. Akhbar merupakan bahan media cetak yang paling popular dan berpengaruh di Malaysia kerana menjadi sumber maklumat sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi.

Tetapi wujud perdebatan tentang kerelevanan media cetak pada masa kini setelah berlaku perkembangan media baru seperti internet dan media sosial. Tidak boleh dinafikan bahawa bahan yang terkandung dalam media baru adalah datang dari media cetak ini. Majoriti isi kandungan dalam media sosial dan portal berita adalah diolah daripada hasil penulisan media cetak. Jadi kewujudan penulisan berita dalam media baru adalah bergantung kepada media cetak ini.

Portal berita kini menjadi sumber utama rakyat mendapatkan berita daripada membaca akhbar

Di samping itu, jika dilihat dalam persekitaran masyarakat Malaysia, akhbar-akhbar masih lagi dicetak, dijual dan dibaca masyarakat di rumah, pejabat ataupun di kedai makan. Bagi sesetengah orang, mereka lebih gemar membaca bahan berita dalam bentuk fizikal kerana lebih memberi kesan dan mengembangkan pemikiran. Ini bermakna media cetak masih lagi relevan dalam negara ini.

Walau bagaimanapun, media cetak kini berdepan cabaran untuk menjadi sumber maklumat utama kepada rakyat kerana generasi kini lebih mengutamakan media sosial dan juga portal berita. Sumber berita dalam bentuk digital kini hanya perlu diakses melalui telefon pintar, komputer dan tablet sahaja serta tidak memakan kos berbanding akhbar biasa.

Kesan daripada perkembangan media baru ini memberi tamparan kepada sumber kewangan syarikat media cetak seperti penutupan Utusan Malaya (M) Berhad kerana masalah hutang baru-baru ini. Isu media cetak adalah kos yang tinggi untuk menghasilkan penerbitan dan mereka mengharapkan pendapatan hasil jualan akhbar dan juga pendapatan pengiklanan.

Apabila kemerosotan kewangan semakin jelas, syarikat yang berbelanja untuk iklan akan beralih kepada media digital. Ia sekaligus menjejaskan pendapatan syarikat media cetak dan pengedar akan berhijrah kepada perniagaan lain kerana bilangan pendapatan tidak berbaloi. Akhirnya, apabila akhbar tidak diedarkan, syarikat akan terpaksa menutup operasi mereka.

Utusan Malaya menjadi ‘mangsa’ perkembangan media baru hingga terpaksa menutup operasi

Inilah cabaran yang perlu dihadapi syarikat-syarikat yang masih menggunakan media cetak sebagai produk mereka. Kebanyakan pembaca kini sudah didedahkan dengan media sosial serta portal berita untuk membaca berita dan generasi membaca akhbar atau bahan bacaan lain semakin kurang. Mereka lebih memikirkan tentang penjimatan kos dan tidak berminat untuk menyimpan bahan-bahan yang sudah dibaca.

Tetapi peranan media cetak dalam membentuk perkembangan media negara ini tidak boleh dilupakan dan generasi baru perlu menghargai media-media cetak ini supaya ia tidak hilang dalam perkembangan internet. Media cetak boleh menjadi bahan bacaan yang sangat berguna kerana ianya tidak boleh diubah dan akan kekal. Kerana itulah bahan media cetak masih disimpan di dalam arkib supaya fakta dan maklumatnya boleh digunakan untuk generasi akan datang. Maka, kerelevanan media cetak tidak perlu dipersoalkan dan wajar dipertahankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here