Pada 18 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong dalam satu kenyataannya menegaskan bahawa satu akta baharu bakal dikaji bagi mengkategorikan pencerobohan privasi sebagai kesalahan jenayah dan seterusnya memperkenalkan undang-undang anti intipan. Ia susulan penyebaran video seks mirip seorang Menteri Kanan dalam Kabinet Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya lagi, cadangan penubuhan undang-undang tersebut dilakukan kerana sudah banyak kes sedemikian rupa berlaku di negara ini selain daripada ingin melindungi hak privasi seseorang dan memberi perlindungan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak yang mudah terdedah kepada jenayah seperti ini. Tambahnya, satu jawatankuasa untuk mengkaji penggubalan undang-undang mengenai penerbitan dan pengedaran video seks telah ditubuhkan bagi mengekang jenayah tersebut dari berlarutan.

Menurut Liew, pelaksanaan undang-undang khas ini bertujuan untuk melindungi hak privasi individu terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak

Jika dilihat dari pelbagai sudut, cadangan penguatkuasaan undang-undang khas ini sememangnya perlu diwujudkan sejak mula bertapaknya zaman teknologi di Malaysia. Hal ini kerana kecanggihan teknologi semakin hari semakin maju ke hadapan dan pelbagai cara serta teknik baharu yang dipelajari oleh manusia termasuklah teknik merakam privasi seseorang.

Boleh dikatakan, jenayah siber seperti ini kerap berlaku di Malaysia di mana pemangsa akan merakam gerak-geri mangsa dalam keadaan mengaibkan dan menggunakannya untuk tujuan ugutan atau pemerasan bagi mengaut keuntungan. Mangsa yang berada dalam ketakutan dan terancam akan mengikut semua kehendak yang diminta kerana risau aib mereka akan didedahkan dan menanggung malu sepanjang hayat. Dalam sesetengah kes, ada mangsa yang diugut selama berpuluh tahun demi kesenangan pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Jenayah siber di Malaysia kini berada pada tahap yang membimbangkan

Dalam perkara ini, terdapat impak besar sekiranya cadangan undang-undang anti intipan ini dilaksanakan. Dari suatu sudut, ia dilihat memberi kebaikan seperti melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada jenayah siber ini. Hal ini kerana golongan lemah ini mudah menjadi sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan menerusi rakaman pencerobohan privasi terbabit. Mungkin sahaja ia digunakan bagi tujuan “perniagaan haram” atau jenayah ugutan. Jadi dengan pelaksanaan undang-undang ini, ia memberikan perisai yang solid untuk kegunaan pihak berkuasa ketika kes dijalankan.

Namun, dalam kebaikan pelaksanaan sesuatu hal, mesti terdapat kontranya. Ia boleh dilihat apabila pelaksanaan undang-undang ini dijalankan, pelbagai kelemahan akan timbul seperti dari segi penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan. Hal ini kerana tiada peruntukan khusus yang boleh memberi pengajaran kepada pesalah melainkan hukuman penjara dan sebatan berbanding aib yang ditanggung mangsa seumur hidup akibat penularan video mereka.

Walau bagaimanapun, cadangan yang diutarakan oleh Datuk Liew itu mendapat maklum balas negatif sebilangan besar rakyat Malaysia. Bagi mereka, pelaksanaan cadangan itu hanyalah gimik kerajaan semata-mata ingin menutup kesalahan yang dilakukan Menteri kanan tersebut selain menyokong kegiatan LGBT. Selain itu, mereka juga menganggap pelaksanaan undang-undang ini hanya akan menggalakkan peningkatan jenayah ini semakin berleluasa dan bukan semakin berkurangan. Akan tetapi, ada sebilangan kecil daripada mereka menyambut baik cadangan kerajaan dan menganggap ia suatu perubahan positif yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam pelaksanaan undang-undang.

Pencerobohan privasi yang semakin menular di negara ini dilihat semakin serius hingga boleh mengancam nyawa pihak yang dianiaya. Justeru, langkah kerajaan dalam melaksanakan undang-undang tersebut dilihat sebagai satu langkah yang relevan dan wajar. Ini kerana pelaksanaan undang-undang tersebut mampu menampung akta-akta yang sedia ada berkaitan dengan jenayah siber. Oleh itu, kerajaan disarankan untuk segera melaksanakan akta ini agar hak privasi rakyat Malaysia kekal terpelihara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here