Syarikat penghantaran makanan Foodpanda baru-baru ini telah mengumumkan skim pembayaran baru bagi semua penghantar makanan mereka di luar Lembah Klang yang berkuatkuasa bermula 30 September 2019. Isu skim pembayaran baharu yang dilaksanakan Foodpanda terhadap penghantar makanan kini tidak dipersetujui oleh rata-rata penghantar makanan Foodpanda di Malaysia.

Hal ini adalah disebabkan sistem pembayaran yang sudah diperbaharui kini seolah tidak berlaku adil kepada pekerja penghantar makanan. Pihak Foodpanda seperti tidak menghargai segala usaha penat lelah mereka yang setiap hari menunggang motosikal hanya untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada para pelanggan.

Penghantar makanan perlu meredah apa sahaja keadaan cuaca demi pelanggan

Tidak dinafikan bahawa sambutan baik yang diberikan oleh pelanggan kepada Foodpanda adalah di atas kesungguhan pekerja penghantar makanan bagi pihak mereka. Walau apa jua keadaan baik panas mahupun hujan, mereka tetap redahi bagi menjamin servis yang diberikan kepada pelanggan adalah yang terbaik.

Oleh yang demikian, masalah dan rintihan ini telah mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan keputusan dibuat syarikat penghantar makanan dalam talian tersebut sebagai terburu-buru. Beliau juga telah menegaskan bahawa isu skim pembayaran baharu yang dilaksanakan Foodpanda terhadap penghantar makanan akan dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian selepas mendengar luahan lebih 100 penghantar makanan Foodpanda dalam satu sesi dialog yang dianjurkan di rumahnya. Lebih 100 penghantar makanan Foodpanda daripada wakil di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur hadir pada sesi dialog tersebut. Antara isu lain yang dibangkitkan adalah pihak Foodpanda didakwa tidak berbincang dengan penghantar makanan sebelum melaksanakan sistem baharu; wakil Foodpanda tidak mengendahkan kebajikan dan aduan dan pendapatan berkurangan sehingga RM600.

Foodpanda menjadi pilihan anak muda untuk menjana pendapatan

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak begitu stabil ini, peluang pekerjaan adalah sangat terhad dan tidak menentu. Oleh kerana itu golongan muda mengambil peluang untuk menjadi pekerja penghantar makanan sama ada sebagai pekerja sepenuh masa atau separuh masa. Dengan adanya peluang sebegini mereka masih mampu untuk meraih pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana ada juga yang menjadikan kerjaya ini bagi menyara kehidupan keluarga mereka di rumah.

Justeru itu, pihak Foodpanda perlulah duduk berbincang dengan baik di antara penghantar makanan mereka di seluruh Malaysia agar dapat memutuskan satu persetujuan yang adil dan baik di antara kedua-dua pihak. Setiap keputusan yang dibuat diharapkan dapat memberikan manfaat “win-win situation” kepada kedua pihak agar masing-masing dapat memberikan komitmen yang lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here