Kes kehilangan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan atau Mykad dan passport tidak boleh dianggap perkara remeh kerana ia boleh memberi implikasi buruk kepada negara. Ramai orang masih tidak peka dengan permasalahan ini dan tidak menjaga dokumen pengenalan diri sedangkan ianya boleh disalahguna oleh individu lain untuk kegunaan yang salah di sisi undang-undang.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga telah mendedahkan sebanyak 1.4 juta kes kehilangan MyKad telah direkodkan sepanjang tempoh Oktober 2015 hingga Disember 2019. Antara punca berlaku kes kehilangan sebegini adalah disebabkan faktor kecuaian, jenayah seperti ragut dan samun serta faktor bencana seperti banjir atau kebakaran.

Kehilangan MyKad boleh membawa kepada kes kepalsuan identiti

Tetapi antara kes yang banyak berlaku adalah disebabkan kecuaian dimana 1,319,979 kes telah direkodkan. Jika kes kehilangan akibat bencana, sekurang-kurangnya kad tersebut akan rosak atau musnah. Tetapi kes akibat jenayah dan kecuaian pula boleh dimanfaatkan individu tidak bertanggungjawab untuk tujuan lain kerana kad itu masih utuh.

Kebanyakan kes kehilangan dokumen pengenalan diri sebenarnya boleh mengundang kepada jenayah penyamaran dan penipuan identiti serta juga pemalsuan dokumen kepada orang asing. Malah, sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri dalam negara ini sudah semakin serius apabila berlaku kes warga asing mempunyai MyKad palsu yang dibeli daripada sindiket ini dengan bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000.

Kehilangan MyKad perlu dilaporkan segera kepada JPN dan PDRM

Oleh kerana itu, masyarakat perlu sedar tentang pentingnya menjaga dokumen pengenalan diri ini untuk mengelakkan disalahguna pihak lain. Dokumen seperti MyKad kini mempunyai banyak data peribadi dan jika berlaku kes kehilangan perlu segera melaporkan kepada pihak polis dan JPN.

Apa yang penting adalah masyarakat perlu lebih peka dalam menjaga keselamatan dokumen pengenalan diri tidak kira di dalam atau luar negara. Banyak sindiket yang mahukan dokumen pengenalan diri untuk mengaut keuntungan dan jika masyarakat tidak menjaganya dengan baik sudah tentu akan menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here