Awal Mac lalu kerajaan negeri Perlis mendapat laporan bahawa 34 etnik Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak mendarat di Pantai Sungai Belati, Sungai Baru pada jam 7.30 pagi. Tujuan mereka ke Perlis adalah untuk menjadikan sebuah kilang tinggal di Napoh, Jitra sebagai transit sebelum ke Pulau Pinang untuk mencari peluang pekerjaan.

Kanak-kanak Rohingya yang mendarat di Perlis

Bukanlah sesuatu yang terlalu mengejutkan apabila etnik ini masuk ke Malaysia secara haram, kerana pada umumnya golongan ini boleh dikatakan sebagai pelarian yang merempat di mana-mana negara yang menerima mereka. Mereka terbuang daripada negara asal iaitu Myanmar apabila negara itu tidak mengiktiraf etnik ini sebagai warganegara.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia. Mahunya tidak, mereka kehilangan identiti selepas melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 1942 ketika berlaku perang etnik. Apabila kembali semula ke Myanmar, dasar negara berubah. Kesannya, mereka tidak lagi diakui sebagai rakyat negara itu lalu menjadi pengemis di negara sendiri.

Golongan minoriti Islam di Myanmar ini terpaksa melalui detik penyeksaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas mereka apabila kempen pembasmian etnik dengan kod nama ‘Pyi Thaya’ mula dilancarkan pada tahun 1991. Pada tahun 2012, ratusan sami Buddha berkumpul dalam perarakan menyokong tindakan Presiden Myanmar agar orang Rohingya dihantar ke negara lain.

Secara kasarnya, etnik ini tidak mempunyai negara untuk meneruskan kelangsungan hidup. Bayi dan kanak-kanak Rohingya terpaksa berdepan dengan diskriminasi etnik apabila mereka tidak mendapat hak untuk mendapatkan pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan makanan yang berkhasiat.

Malaysia merupakan sebuah negara yang prihatin dan sentiasa mengamalkan sikap perikemanusiaan. Dasar pintu terbuka yang diamalkan negara ini memberi peluang kepada etnik Rohingya untuk berlindung. Sehingga Februari 2019, seramai 160,000 pelarian Rohingya berlindung di negara ini dan daripada jumlah itu 25 peratus daripadanya menerima kemudahan pendidikan.

Kedatangan etnik Rohingya ke Malaysia sebenarnya didalangi oleh sindiket-sindiket pemerdagangan manusia. Ejen sindiket itu adalah di kalangan warga Rohingya sendiri yang memegang kad UNHCR dan telah menetap di Malaysia selama 30 tahun serta menganggotai badan sukarela mengenai pelarian Rohingya. Mereka ini merupakan sindiket yang berlindung di sebalik nama NGO. Tujuan asal penubuhan NGO ini kononya mahu membela nasib Rohingya dengan menjanjikan peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan dan perladangan khususnya di Malaysia.

Kemasukan etnik Rohingya secara haram ke Malaysia didalangi oleh etnik mereka sendiri

Adakah etnik paling malang di dunia ini merupakan ancaman kepada Malaysia? Golongan ini pernah digelar sebagi pengganas. Isu ini mula timbul seawal tahun 2015. Rohingya itu sengsara, Rohingya itu miskin, Rohingya itu tiada daya dan kerana itu Rohingya tidak seperti etnik minoriti lain yang mengangkat senjata dan melawan kerajaan. Dalam erti kata mudah bagaimana etnik yang lemah ini mampu memberi ancaman kepada sesebuah negara bahkan dunia.

Lawan mereka kepada kerajaan hanyalah lari meninggalkan kampung halaman, jadi pelarian, merempat dan menunggu bantuan tiba. Mereka adalah etnik yang hidupnya seperti ‘bola’, ditendang ke tepi dan ke tengah tanpa ada sebarang pembelaan. Sedangkan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi yang berusaha mempromosi keamanan dan demokrasi sendiri mengambil langkah tutup mulut dan tidak mengecam mereka yang melakukan keganasan kepada Rohingya.

Walau bagaimanapun, kemasukan etnik ini ke Malaysia tidak dilakukan secara mudah dan perlu melalui beberapa tapisan. Individu yang benar-benar bersih daripada masalah salah laku dan penyakit akan dibenarkan untuk tinggal di Malaysia. Namun perkara ini akan memberikan kesan jangka panjang jika tiada penyelesaian diberikan. Malaysia harus bertegas kepada Myanmar untuk membincangkan keadaan di Rakhine, tempat asal etnik malang ini. Jika tiada penyelesaian yang adil dan cepat berkenaan isu ini ia akan memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan rantau, termasuk Malaysia. Penghijrahan beramai-ramai ini juga jika tidak ditangani mungkin akan mempengaruhi demografi penduduk Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here