Rokok haram atau rokok seludup kini semakin mendapat sambutan oleh perokok di negara ini kerana harga yang lebih murah berbanding rokok sah. Perokok juga menganggap rokok haram ini sebagai alternatif jika harga rokok sah semakin mahal di pasaran selepas kerajaan mengenakan cukai tinggi.

Disebabkan itu lah berlaku peningkatan statistik rokok haram yang pernah dikeluarkan oleh Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia dimana penjualan rokok haram adalah sebanyak 58.9 peratus menjadikan Malaysia merupakan jualan rokok haram tertinggi di dunia. Ianya meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding 2017 dan tidak menunjukan sebarang penurunan sejak 2013.

Kajian yang dilakukan oleh Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia adalah untuk mengkaji trend rokok haram di Malaysia berbanding rokok pengeluar sah oleh British American Tobacco (BAT) Berhad, Japan Tobacco International Berhad (JTI) dan Philip Morris Sdn Bhd. Kajian ini mengambil sampel dari pelbagai jenis rokok haram seperti John, U2, Gudang Garam, Canyon dan lain-lain.

Statistik rokok haram di Malaysia sebanyak 58.9% adalah tertinggi di dunia

Kajian juga mendapati jualan rokok haram sangat berleluasa di Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Terengganu, dengan 70 peratus serta 80 peratus pek rokok dari kawasan ini adalah rokok haram. Ini berkemungkinan kerana negeri-negeri tersebut berdekatan dengan sempadan negara luar seperti Thailand dan Filipina.

Antara sebab berlaku peningkatan rokok haram di negara ini adalah peningkatan harga rokok sah. Harga bagi sekotak rokok haram adalah dalam lingkungan RM3.50-RM6.00 berbanding harga rokok sah iaitu RM12.50-RM17.50. Peningkatan harga rokok adalah disebabkan kenaikan duti eksais oleh kerajaan dan ianya adalah langkah supaya rakyat tidak lagi membeli rokok. Tetapi apabila harga rokok meningkat, rakyat beralih kepada rokok haram yang lebih murah.

Rokok haram ini dijual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding rokok sah

Oleh kerana peningkatan tinggi rokok haram, aktiviti penyeludupan rokok ini juga meningkat dengan modus operandi (MO) yang berbeza oleh penyeludup hingga menyukarkan pihak berkuasa membanteras aktiviti haram ini. Malah rokok haram ini mempunyai setem cukai palsu dari Indonesia dan ada yang tidak mempunyai apa-apa setem langsung kerana rata-ratanya diseludup dari Thailand, Indonesia dan juga Filipina.

Rokok haram ini juga telah memberi kesan kepada kutipan cukai negara kerana kerajaan telah kehilangan lebih RM4 bilion setahun berbanding duti cukai terhadap rokok yang berjaya dikesan sebanyak RM992 juta pada tahun 2017. Ia menunjukkan perbezaan ketara kerugian kerajaan terhadap penyeludupan rokok haram ini dan langkah untuk membanteras aktiviti ini perlu dilakukan dengan segera oleh kerajaan serta pihak berkuasa.

Justeru, kerajaan perlu memastikan rokok haram ini dibanteras dengan secukupnya dan statistik yang dikeluarkan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia tersebut menunjukkan negara berada pada tahap krisis. Ramai perokok lebih gemar menghisap rokok haram kerana harga yang lebih murah berbanding rokok sah. Jika rokok haram masih berleluasa, hasrat kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok pada masa akan datang juga tidak akan tercapai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here