Hubungan di antara Malaysia dan Singapura sering menjadi perhatian rakyat kedua-dua negara tersebut baik dari segi ekonomi dan juga keselamatan. Kini situasi hubungan Malaysia dan Singapura berhubung isu keselamatan telah kembali panas selepas insiden pencerobohan ruang udara Pasir Gudang, Johor oleh pesawat Singapura ketika mahu mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Isu ini bermula apabila pihak Singapura bercadang untuk membesarkan Lapangan Terbang Seletar bagi mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Changi. Apabila Lapangan Terbang Seletar dibesarkan, ia akan melibatkan prosedur penerbangan baru iaitu Tatacara Sistem Pendaratan Alatan (ILS) dan Singapura telah menyiarkan ILS tersebut melalui Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) tanpa kebenaran rasmi Malaysia.

ILS bertujuan untuk membantu juruterbang mendekati lapangan terbang dan landasan untuk mendaratkan pesawat dengan lebih selamat. Akan tetapi, laluan penerbangan ILS oleh Singapura ini akan menyebabkan pesawat perlu terbang pada ketinggian rendah di kawasan Johor dan boleh merencatkan pembangunan bangunan pencakar langit di sana. Malah ianya juga akan menyebabkan berlaku pencemaran bunyi kepada penduduk di kawasan Pasir Gudang kerana bunyi daripada pesawat yang melalui kawasan tersebut.

Di samping itu juga, kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara jika Singapura diberikan kebenaran untuk memasuki ruang udara Johor. Isu pencerobohan bukan perkara baru yang melibatkan Singapura kerana sebelum ini juga Singapura pernah mendakwa Malaysia sudah mencerobohi perairan mereka sehingga mereka menghantar tentera untuk memberi amaran kepada kapal Malaysia. Malah baru-baru ini video tentera Singapura menghantar helikopter tempur jenis Apache berlegar di kawasan ruang udara Johor untuk menakut-nakutkan kapal Malaysia juga tular di media sosial.

Helikopter tempur milik Singapura dilihat berlegar di ruang udara Johor

Keselamatan Malaysia boleh terjejas jika lebih banyak ruang diberikan kepada Singapura mencerobohi ruang udara Malaysia. Pada tahun 2006, pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dipercayai milik tentera udara Singapura (RSAF) didapati menceroboh ruang udara negara di Gelang Patah, Johor. UAV Singapura tersebut menggunakan teknologi pengintipan Israel dan UAV dari jenis yang sama banyak digunakan oleh rejim tersebut untuk memantau pergerakan penduduk Palestin sama ada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat.

Selain itu, pencerobohan yang berterusan di ruang udara dan perairan Malaysia boleh memberi persepsi negatif tentang kawalan keselamatan Malaysia yang mudah diceroboh oleh negara luar. Ia juga akan memberi imej yang buruk kepada pasukan tentera Malaysia kerana tidak memberi tindak balas kepada pencerobohan Singapura walaupun mereka sentiasa memantau keselamatan sempadan negara.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada Singapura tentang pencerobohan ruang udara tersebut dan merancang untuk mengambil kembali ‘delegated airspace’ di Selatan Johor yang selama ini diwakilkan kepada Singapura sejak tahun 1974. Kerajaan akan mengambil kembali ruang udara tersebut secara berperingkat bermula akhir tahun 2019 hingga 2023.

Rata-rata rakyat Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati kepada pihak Singapura yang dilihat sengaja mengambil kesempatan dengan hubungan baik dari Malaysia kerana kerap kali menceroboh sempadan Malaysia. Malah ada sesetengah rakyat Malaysia meluahkan sikap kekesalan terhadap kerajaan Malaysia yang masih berlembut dengan Singapura sedangkan negara jiran tersebut sudah meletakkan kelengkapan perang mereka di sempadan.

Oleh itu, satu jalan penyelesaian perlu dilakukan bagi mencari keputusan yang memihak kedua-dua negara dan pada masa sama menjaga kedaulatan negara. Kerajaan perlu menggazetkan kawasan udara selatan Johor sebagai kawasan larangan kapal terbang bagi mengelakkan insiden sama berulang. Ini bagi menunjukkan Malaysia akan lebih tegas dengan kawasan sempadan bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dari terus diceroboh.

Jarak Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Seletar hanya 2 KM

Maka kerajaan harus memastikan pihak Singapura lebih menjaga sensitiviti Malaysia berkenaan kawasan sempadan kedua-dua negara. Kerajaan Malaysia tidak harus melihat hubungan baik Singapura dan Amerika Syarikat yang dianggap kuasa besar dunia sebagai faktor kerajaan berlembut dengan pihak Singapura. Begitu juga dengan Singapura adalah tidak adil untuk menggunakan Malaysia hanya untuk kepentingan diri sendiri. Berbekalkan peruntukan yang besar dan kepakaran sedia ada, Singapura sudah pasti dapat menyelesaikan masalah penggunaan ruang udara tanpa bergantung kepada Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here