Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini dianggap projek yang penting kerana ianya sangat membantu rakyat Malaysia khususnya dari golongan berpendapatan rendah untuk memenuhi keperluan tempat kediaman. Ini kerana rumah PPR dijual dengan paras harga antara RM30,000 dan RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia serta RM40,500 di Sabah Sarawak. Nilai harga rumah tersebut jauh lebih murah berbanding harga rumah di pasaran yang semakin mahal.

Oleh kerana itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan PPR dan memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan kurang berkemampuan dapat dicapai. Kerajaan juga telah memperuntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk membina dan menyiapkan rumah mampu milik mengikut daripada Belanjawan 2019 yang diumumkan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng.

Dasar kerajaan untuk merancakkan perumahan mampu milik sangat diperlukan rakyat buat masa ini kerana rumah merupakan satu keperluan penting terutamanya kepada mereka yang sudah berkahwin dan tinggal di kawasan bandar. Harga rumah di kawasan bandar sangat tinggi dan melangkau kemampuan kebanyakan rakyat yang tinggal di sana dengan minimum harga RM275,000 dan ke atas. Malah bagi keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah, mereka diklasifikasikan sebagai miskin bandar dan semestinya tidak mampu untuk membeli rumah.

Rumah PPR perlu diperluaskan di kawasan bandar bagi membantu golongan miskin bandar B40

Kerana itulah, KPKT berhasrat untuk membina lebih banyak rumah PPR di kawasan bandar kerana keperluan di kawasan tersebut lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar. Jika kerajaan membina rumah PPR di kawasan luar bandar, penduduk yang memohon akan terbeban dengan kos pengangkutan jika mereka bekerja di kawasan bandar atau perlu menghantar anak ke sekolah.

Malah, jumlah rakyat dari kumpulan B40 yang tinggal di kawasan bandar makin meningkat kerana mereka berhijrah dari luar bandar untuk mencari rezeki yang lebih baik. Tetapi, mereka terpaksa menanggung kos sara hidup tinggi terutamanya mencari tempat tinggal. Pertambahan rumah PPR, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka apabila mahu membeli rumah untuk ahli keluarga mereka.

Bagi memudahkan pelaksanaan perumahan mampu milik di kawasan bandar ini, Menteri KPKT, YB Zuraida Kamaruddin menyatakan kementeriannya akan memohon lokasi tanah yang bersesuaian dari setiap kerajaan negeri untuk membangunkan PPR. Kerajaan Negeri akan menawarkan tanah yang terletak di lokasi bersesuaian terutama di kawasan bandar supaya dapat memudahkan rakyat dengan kemudahan infrastruktur lengkap.

Menteri KPKT, YB Zuraida Kamaruddin akan memohon lokasi tanah untuk projek PPR dari setiap Kerajaan Negeri

Kerajaan juga berhasrat untuk membina rumah PPR yang lebih besar dengan keluasan 850 hingga 900 kaki persegi berbanding 600 kaki persegi ketika ini. Rumah PPR tersebut juga akan disediakan kemudahan yang lengkap seperti tempat riadah, surau, dewan dan perpustakaan. Ini bagi memastikan kerajaan dapat memberi rumah yang selasa dengan kemudahan dan pengurusan lebih baik kepada golongan B40 walaupun wujud kemungkinan kenaikan harga rumah PPR pada kadar RM60,000 seunit.

Maka, wajar untuk kerajaan mempertimbangkan untuk meluaskan projek pembangunan rumah mampu milik di kawasan bandar kerana ia lebih banyak membantu rakyat dari golongan B40 yang tergolong dalam kelompok miskin bandar. Harga rumah di kawasan bandar adalah terlalu tinggi kerana pemaju hanya mementingkan keuntungan berbanding kemampuan rakyat. Justeru, langkah kerajaan adalah tepat untuk memastikan golongan B40 mampu untuk memiliki rumah sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here