Rundingan East Coast Rail Link (ECRL) di antara kerajaan Malaysia melalui Tun Daim Zainuddin dan kerajaan China melalui Syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah mencapai kejayaan apabila CCC bersetuju untuk meminda semula perjanjian pembinaan laluan keretapi berkelajuan tinggi berkenaan.

Dalam rundingan tersebut, kerajaan Malaysia mahukan pengurangan kos pembinaan dan manfaat yang lebih banyak kepada industri tempatan. Namun, ECRL yang telah siap sebanyak 20% setakat ini, akan mendatangkan kerugian kepada kerajaan sebanyak RM21 bilion sekiranya dibatalkan sepenuhnya. Pada masa yang sama, sekiranya diteruskan pada spesifikasi asal, kerajaan terpaksa menanggung kos operasi dan pengurusan yang tinggi.

Sebagai langkah permulaan, tarikh siap projek dilanjutkan kepada 31 Disember 2026 daripada tarikh asal 2024 bagi memudahkan pembayaran dibuat secara berjadual. Pada masa yang sama, Jarak ECRL telah dipendekkan dari 688 km kepada 648 km, yang membawa kepada penjimatan kos. Susulan daripada semakan tempoh projek dan jarak laluan yang membawa kepada penurunan kos, CCC akan memulangkan 1 bilion ringgit (AS$243 juta) yang merupakan sebahagian daripada bayaran pendahuluan sebanyak 3.1 bilion ringgit (AS$750 juta) bagi Fasa 2 projek ECRL.

Stesen-stesen Projek Laluan ECRL

Terdapat beberapa manfaat yang diperoleh hasil kejayaan rundingan ini antaranya kos ECRL berjaya dikurangkan dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion. Penjimatan ini bermakna negara perlu menanggung hutang yang lebih kurang daripada anggaran asal. Selain itu, dengan penerusan projek berkenaan, kontraktor tempatan akan mendapat faedah di mana kerajaan berjaya merundingkan peningkatan penyertaan kontraktor tempatan dalam pembinaan ECRL yang akan meningkat kepada 40 peratus daripada keseluruhan kerja awam 30 peratus. Apabila siap projek berkenaan kelak, usahawan-usahawan tempatan boleh mengambil peluang daripada peningkatan kegiatan ekonomi seperti inap desa, kedai makan dan runcit.

Pada masa yang sama, rundingan semula juga kelak menyaksikan pengurangan bilangan stesen daripada 28 kepada hanya 20 stesen. Pengurangan stesen ini akan memberikan sedikit kesan negatif kepada kawasan-kawasan yang dibatalkan pembinaan stesennya seperti di bandar-bandar di Kelantan dan Bentong, Pahang. Stesen Kerteh, yang menjadi hab minyak dan gas turut terkeluar daripada senarai laluan baru ECRL. Namun, bagi memitigasikan keadaan ini, kerajaan dijangka akan menambahbaik sistem laluan jalanraya yang menghubungkan kawasan ini ke ECRL.

Projek ECRL buka lebih banyak peluang pekerjaan

Rundingan semula ini mendapat reaksi positif dari kebanyakan pihak seperti Pengerusi Jabatan Ekonomi LIU Post, Panos Mourdoukoutas, yang dimuatkan dalam Forbes berkata, Malaysia berani melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh Sri Lanka, Pakistan, dan Filipina untuk membawa Beijing kembali ke meja rundingan bagi mengurangkan kos projek-projek pelaburan yang diluluskan kepada kontraktor China. Komen-komen dari netizen juga positif, malah memberi respon baik dengan mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan atas kejayaan rundingan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘win-win situation’ di antara kedua-dua belah pihak.

Dengan pembinaan ECRL ini kelak, rakyat Malaysia terutamanya di kawasan Pantai Timur akan dapat menikmati peningkatan aktiviti ekonomi negeri di samping menggunakan kemudahan pengangkutan kereta api laju bersubsidi yang jauh lebih murah daripada kos sebenar. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan komited di dalam membangunkan ekonomi seluruh negara, seterusnya membawa kepada kesejahteraan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here