Selangor dan krisis air, ibarat seperti “isi dengan kuku”. Itulah gambaran yang boleh diberikan kepada situasi semasa tentang keadaan yang dihadapi oleh para penduduk negeri terkaya di Malaysia pada saat ini. Minggu lalu, rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah “dikejutkan” dengan berita gangguan bekalan air berjadual yang bermula pada 23 sehingga 25 Julai ini.

Namun, kini ia seolah-olah tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan apabila ada sebahagian kawasan di Lembah Klang telah pun berhadapan dengan saat kronik apabila bekalan air mereka putus sebelum sempat mereka membuat bekalan simpanan. Ia berikutan pencemaran yang berlaku di beberapa buah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor melalui Fasa 1, 2 dan 3. Terbaru, empat LRA diarahkan tutup semula berikutan pencemaran diesel di muka sauk di LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan pencemaran diesel

Mengapa isu ini sampai sekarang tidak berkesudahan? Hal ini kerana kurangnya kepekaan pengurusan Air Selangor terhadap perkhidmatan air yang rendah hingga memaksa para penduduk berhadapan dengan situasi getir ini lebih kerap. Kes seperti paip pecah atau bocor, gangguan bekalan air dan aduan gangguan bekalan air antara yang direkodkan tertinggi oleh laporan Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) 2017 yang dikeluarkan oleh Persatuan Air Malaysia (MWA). Laporan itu juga merekodkan, daripada keseluruhan 416,201 aduan gangguan bekalan air dari seluruh negara pada 2016 pula, lebih separuh iaitu 259,537 aduan dilaporkan di Selangor.

Selain itu, kurangnya bekalan air bersih yang terawat juga menjadikan faktor mengapa para penduduk di kawasan Selangor sering berhadapan dengan situasi getir ini tanpa amaran. Sekiranya isu ini semakin berlarutan, ia sudah semestinya mendatangkan kesan dan akibat yang berpanjangan. Antara kesan yang boleh dilihat sudah tentu berkait rapat dengan soal kesihatan para penduduk dan kelancaran aktiviti seharian mereka. Hal ini akan menyebabkan produktiviti mereka terhenti akibat kurangnya bekalan air bersih yang dibekalkan.

Selain itu, kerancakan pembangunan ekonomi juga akan terbantut jika tiada bekalan air bersih, khususnya dalam bidang pembuatan. Ini kerana Selangor merupakan negeri yang mempunyai banyak kilang pembuatan, jadi sudah ia akan menganggu urusan produktiviti pasaran sekiranya isu ini berlarutan tanpa penyelesaian.

Dalam perkara ini, beberapa langkah proaktif haruslah difikirkan oleh kementerian terlibat bersama pengurusan Air Selangor dan juga Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Antara langkah yang dirasakan sesuai bagi menangani isu ini adalah dengan mewujudkan pasukan pemantau bagi menjalankan pemantauan tahap pencemaran di semua LRA di Selangor.

Sampai bila rakyat Selangor nak hadap seksa begini?

Di samping itu, kerajaan negeri haruslah meneliti kerja-kerja penambahbaikan di ke semua LRA mengikut pada jadual yang ditetapkan selain menambah peruntukan ke atas penambahbaikan tersebut. Hal ini perlu dalam memastikan para penduduk menerima perkhidmatan air pada tahap terbaik tanpa adanya gangguan bekalan air yang kerap.

Justeru, kerajaan negeri haruslah menangani isu ini dengan kadar segera tetapi bersistematik. Sekiranya perkara ini dipandang enteng, sudah pasti rakyat negeri Selangor akan kekal dalam keadaan daif dari segi pengurusan airnya dan tidak mustahil suatu hari nanti ekonomi negeri Selangor merudum akibat kurangnya perhatian kerajaan negeri terhadap isu yang sudah terjadi sejak bertahun lamanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here